Ucapan Penutup Simposium Anti-Rasuah dan Integriti Mahasiswa Peringkat Kebangsaan (SATRIA 2025)

MOHD JAMIZAL ZAINOL
Pengerusi, Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia  (Yayasan PEACE)


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Dihormati Naib Canselor UTeM, Pengarah SPRM Negeri Melaka dan Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian.

  1. Segala puji bagi Allah SWT, kerana dengan rahmat dan inayah-Nya kita telah tiba ke majlis penutup Simposium Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan 2025 (SATRIA 25) hari ini.
  • Mewakili Yayasan PEACE, saya mengucapkan tahniah kepada para peserta yang terlibat dan ahli jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UTeM. Begitu juga terima kasih saya kepada UTeM dan SPRM Negeri Melaka atas kerjasama strategik ini untuk terus dan tanpa rasa jemu mengukuhkan jati diri terutamanya menanamkan sikap “Amanah” dan benci kepada rasuah dikalangan anak-anak muda kita dan masharakat Malaysia.
  • Jati diri yang saya maksudkan disini ialah menancap dan memugar semula “Empat Nilai” atau “virtues” yang mesti ada dalam setiap jiwa insan iaitu:
  • Siddiq -Benar dan jujur dalam perkataan dan perbuatan;
  • Amanah – Dapat dipercayai dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan;
  • Fathonah – Bijaksana, cerdas dan pandai; dan
  • Tabligh – Mampu menyampaikan kebenaran (Truth) kepada manusia tanpa ada yang disembunyikan.
  • Keadaan dunia yang suram sekarang dari segi ekonomi, dunia terbuka dan globalisasi mempercepatkan lagi keruntuhan akhlak dan moral masharakat. Paling baru, berlaku pembunuhan tragis di kawasan sekolah di Kuala Lumpur. Kes yang mengejutkan dan tanda jelas bahawa masharakat kita sekarang sangat sakit.
  • Namun demikian, kita harus bingkas bangun dan tidak pesimistik dengan nasib masharakat Malaysia. Jangan gundah gulana, usaha mesti diteruskan untuk mengukuhkan nilai-nilai baik yang telah saya nyatakan tadi dalam setiap diri kita.
  • Pada pandangan saya, masharakat menjadi rosak, hilang maruah, korup dan menjadi pencuri duit awam bermula apabila rosaknya akhlak pemimpin dan ulama’. Imam Al-Ghazali di dalam Nasihat al-Muluk “Kerosakan rakyat berpunca daripada kerosakan raja; dan kerosakan raja berpunca daripada kerosakan ulama.
  • Ini bermaksud, jika ulama’, intelektual dan cerdik pandai bisu terhadap kebatilan dek kerana perut, maka raja akan sesat. Dan apabila raja sesat, rakyat akan ikut hancur.

Saudara Saudari sekelian,

  • Di zaman pasca-modernisme, cabaran terbesar ialah mengejar kebahagiaan yang palsu. Kebahagiaan dinisbahkan kepada kekayaan kebendaan atau fikrah maddiyah. Anak-anak muda dimomokkan dengan memiliki barangan berjenama mewah sebagai penentu kejayaan dalam hidup. Barangan jenama mewah ini ditularkan di sosial media seperti di Instagram, Tik Tok dan Facebook bagi membangkitkan rasa berahi dan keghairahan kepada penontonnya. Inilah budaya “exhibitionism” yang melanda masharakat kita.
  • Sebenarnya, kejayaan sebegini tidak hakiki sebaliknya hanya persepsi. Mereka mungkin bergolok bergadai atau meminjam wang bagi mempamerkan kemewahan yang palsu bagi menjual produk atau menarik pelanggan bagi membeli perkhidmatan mereka.
  1. Apabila pembaca setiap hari membaca kiriman influencer atau anak muda bergaya dengan jenama mewah, hati mana tidak teringin. Walaupun, orang itu mungkin tidak mampu memilikinya.
  1. Natijahnya, akan timbul gelodak jiwa mahu memiliki barangan tersebut kerana beranggapan jenama mewah sudah menjadi keperluan dan mesti dimiliki.
  1. Inilah dikatakan dorongan secara tersirat yang membuatkan kemewahan itu menjadi sesuatu yang nisbi kerana menganggap semua orang boleh memilikinya, walaupun tanpa usaha, ketekunan, kerja kuat dan ilmu yang tinggi.
  1. Maka, ada sanggup menipu dan menjadi scammer menipu rakan sendiri bagi mendapatkan wang ringgit untuk dibelanjakan mendapatkan kemewahan.
  1. Mereka sanggup menipu dan memperdayakan orang lain, janji ada kemewahan. Yang penting apa nampak di luaran, walaupun busuk di dalam.
  1. Penyakit ini mula menjangkiti mereka yang berkuasa untuk membuat keputusan. Mereka diamanahkan sebagai penguatkuasa, ketua tender dan pengerusi syarikat mula rambang mata. Gaji diterima dirasakan tidak cukup. Terdetik dalam hati mana mungkin anak muda dan influencer boleh memiliki kenderaan mewah, sedangkan mereka tidak boleh.
  1. Dorongan untuk melakukan kejahatan mula ditiupkan dalam hati. Kuasa digadai bagi mendapatkan rasuah dan wang ringgit.
  1. Mereka diamanahkan menjaga pintu sempadan negara mula culas hingga membahayakan keselamatan negara. Mereka diamanahkan memastikan produk diimport halal dan suci kepada umat Islam akhirnya culas dengan membiarkan daging haram dimakan masyarakat.
  1. Semuanya menjadi subjektif dan nisbi. Makanan tidak halal membuahkan pula budaya nihilisme yang percaya tidak ada kebenaran sejati. Kebenaran ialah apa kita fikirkan dan tanggapkan. Walhal agama datang bagi memberitahu manusia kebenaran itu ada.
  1. Maka tidak hairan, masyarakat menganggap rasuah tidak salah. Nilai masyarakat dihinggapi budaya nihilisme menganggap rasuah sebagai hadiah, insentif, imbuhan dan komisen. Mereka sudah tidak dapat membezakan frasa itu kerana menganggap semuanya sama. Tidak salah selagi tidak ditangkap.
  • Apa yang penting mereka ‘diiktiraf’ sebagai berjaya. Inginkan pengiktirafan juga adalah penyakit masa kini. Ini belum berbicara perihal ahli politik yang perlu rasuah demi mendapatkan wang ringgit untuk membeli pengikut dan undi. Walhal sekali lagi, pembelian sokongan dan undi tidak semestinya berjaya membeli kesetiaan serta nilai persahabatan.
  • Memang tidak dinafikan teori Maslow berkenaan hierarki keperluan manusia self-actualisation adalah hierarki tertinggi dikejar manusia. Maksudnya, keinginan mendapatkan pengiktirafan manusia selepas segala potensi diri dapat dikembangkan melalui pemilikan segala keperluan jasmani dan ego tercapai.
  • Manusia tersilap sekiranya mengejar hierarki self-actualisation tanpa mengira dosa dan pahala, malah mencapainya tanpa mengambil kira jalan mencapainya, walaupun melalui penipuan dan kezaliman.
  • Masharakat Malaysia terutama anak muda perlu kembali kepada pandangan alam yang betul mengenai erti kejayaan. Kejayaan hakiki adalah apabila kita berjaya mengecapi nilai baik diajarkan dalam agama. Nilai baik seperti persahabatan, kesetiaan dan kebahagiaan tidak boleh dibeli melalui wang ringgit.
  • Wang ringgit boleh membeli objek, tetapi tidak boleh membeli subjek. Subjek persahabatan, kesetiaan dan kebahagiaan hadir apabila kita memiliki ilmu benar.
  • Ilmu benar dan nyata, hanya boleh didapati melalui pengiktirafan kita bahawa kejayaan melalui nilai persahabatan, kesetiaan dan kebahagiaan hanya boleh dikecapi secara transendental melalui pengiktirafan kita pada ilmu metafizik.
  • Kebahagiaan adalah sesuatu dirasa dalam hati yang tidak boleh digambarkan dalam dunia fizikal. Oleh itu, ada mereka miskin pada fizikal, tetapi hidup bahagia. Mereka tidak mengejar kemewahan, pangkat dan kedudukan tetapi bahagia.
  • Justeru, kejarlah nilai ini, bukan mengejar objek kemewahan. Kebahagiaan juga adalah keberkatan dalam hidup yang tidak nampak secara fizikal dan hanya boleh difahami secara metafizik.
  • Sempena hari yang bersejarah hari ini, saya menyeru pihak Kerajaan menjadikan Rasuah sebagai musuh nombor satu negara dan meminda undang-undang dengan menghukum pesalah rasuah dengan Sebatan.

Bunga melati di dalam taman,
Bunga rampai harum berseri;
Amanah dijaga sepanjang zaman,
Hilang amanah runtuh negeri.

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Kalau mencari pemimpin sejati,
Pertama amanah kedua budi pekerti.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.


29. Akhir kata saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mendukung program SATRIA 25 dan sangat-sangat berharap program dua hari ini telah mencapai objektif yang telah ditetapkan

Sekian, وَالسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.