- PENGENALAN
Majlis Peluncuran Buku “Melayu dan Konservatisme: Wacana Kritis terhadap Agama, Politik dan Ekonomi” serta *Sumbangan Buku “Amanat Integriti dan Tatakelola Perdana Menteri” telah berlangsung dengan penuh jayanya pada 6 November 2025 (Khamis) di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Program ini dianjurkan oleh Yayasan PEACE (Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya ilmu, memperkasa wacana falsafah kebangsaan dan mengangkat nilai integriti dalam kepimpinan serta tadbir urus negara.

- OBJEKTIF PROGRAM
- Melancarkan buku “Melayu dan Konservatisme” sebagai karya ilmiah yang memperincikan falsafah politik, moral dan ekonomi bangsa Melayu.
- Menyerahkan 50 naskhah buku “Amanat Integriti dan Tatakelola Perdana Menteri” kepada universiti-universiti utama sebagai sumbangan Yayasan PEACE dalam memperkukuh kesedaran integriti nasional.
- Mempupuk wacana intelektual antara tokoh akademik, korporat dan masyarakat terhadap nilai konservatif sebagai asas kelangsungan bangsa Malaysia.
- Mengukuhkan peranan Yayasan PEACE sebagai institusi pemikir nasional yang menggabungkan idealisme ilmu, moral dan dasar awam.
- PERASMIAN
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, bekas Menteri Luar Malaysia dan bekas Speaker Dewan Negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri menegaskan bahawa pemikiran konservatif bukanlah penolakan terhadap kemajuan, tetapi satu falsafah ketertiban, kesinambungan nilai dan penghargaan terhadap warisan bangsa. Beliau turut mengiktiraf usaha Yayasan PEACE dan penulis Tuan Mohd Jamizal Zainol dalam menghidupkan kembali tradisi pemikiran Melayu-Islam yang berakar pada sejarah, agama dan budaya budi.
- INTIPATI PROGRAM
a. Pelancaran Buku Utama
Penulis buku, Tuan Mohd Jamizal Zainol, telah menyampaikan ucapan peluncuran yang menyoroti perjalanan pemikiran Melayu dalam sejarah politik dan sosial Malaysia, serta menyeru agar nilai konservatisme dijadikan asas moral kepada reformasi nasional.

b. Sumbangan Buku Amanat Integriti dan Tatakelola Perdana Menteri
Sebanyak 50 naskhah buku “Amanat Integriti dan Tatakelola Perdana Menteri” telah disumbangkan kepada lima institusi pengajian tinggi awam utama, iaitu:
1. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak
2. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gambang
3. Universiti Malaya (UM)
4. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
5. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumbangan ini menjadi simbol dedikasi Yayasan PEACE dalam memperkukuh nilai akauntabiliti dan tatakelola di kalangan warga akademia serta bakal pemimpin masa depan negara.
c. Forum Wacana Intelektual
Sesi forum bertajuk “Falsafah Konservatisme sebagai Kelangsungan Bangsa Malaysia” telah diadakan selepas peluncuran buku.
Forum ini menampilkan tiga tokoh panel berwibawa:
• Tuan Mohd Fazli Ibrahim, Pengurus Besar Komunikasi Korporat, PETRONAS
• Dr. Hilmi Ramli, Pengarah RZS-CASIS, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
• Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)**
Moderator forum ialah Encik Aliff Naif Mohd Fizam, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PEACE.

Perbincangan forum meneliti hubungan antara falsafah konservatisme, kestabilan moral bangsa dan tanggungjawab generasi muda dalam mempertahankan warisan intelektual serta budaya kebangsaan.
- KEHADIRAN
Majlis ini dihadiri oleh 100 orang tetamu jemputan, terdiri daripada tokoh akademik, pemimpin masyarakat, wakil universiti, serta pemimpin politik pelbagai latar.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah:
• Dato’ Seri Jamil Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil
• YB Azhari Ahmad, Ahli Parlimen Padang Rengas
• Dr. Afif Bahardin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan
• YB Ahli Parlimen Kulim
• Dato’ Masrizal Muhammad, Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi**
Kehadiran tokoh-tokoh ini memperkukuh lagi dimensi wacana, menghubungkan lapangan akademik, politik dan masyarakat dalam membina kefahaman tentang nilai konservatif sebagai asas kelangsungan bangsa.

- DOKUMENTASI DAN LIPUTAN MEDIA
Majlis mendapat liputan rasmi melalui platform media sosial Yayasan PEACE, disertai rakaman foto dan video oleh Lensa Rasmi Yayasan PEACE. Dokumentasi acara akan digunakan bagi laporan, arkib, dan penerbitan pasca program Yayasan.


