Malaysia Saksama:Formula Malaysia Kembali ke Titik Tengah Falsafah Politik

Oleh : Mohd Jamizal bin Zainol , Pengerusi , Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia

Saya tertarik untuk mengulas pandangan yang dilontarkan dalam ruangan Minda Pengarang Berita Harian bertarikh 6 September 2023 bertajuk “Henti Segera Perkuda Agama dalam Politik Demi Perpaduan”. Ada beberapa lontaran fikir pengarang yang saya bersetuju antaranya mengelakkan diri kita terperangkap dalam pemikiran ekstremisme dalam berpolitik. Namun, saya masih berasa janggal kerana pengarang masih terperangkap dengan permasalahan fenomena-fenomena yang berlaku sekarang di Malaysia tetapi tidak mencari punca berlakunya fenomena tersebut.Fenomena takfiri dan fenomena menobatkan kebebasan mutlak manusia sehingga melanggar semua hirarki dan autoriti adalah contoh fenomena hodoh yang berlaku sekarang ini di Malaysia.

Paling penting ialah kita perlu faham apa yang dikatakan ekstrem. Ekstrem dalam falsafah politik ialah apabila kita mengambil pendirian berikut iaitu kolot dan jumud yakni suatu pemikiran yang tidak mahu menerima sebarang perubahan dan pembaikan atas dasar sudah selesa dengan apa yang ada. Pemikiran ini saya istilahlahkan sebagai ekstrem kanan. Contoh,, suatu pemikiran yang mengatakan semua pembaharuan, kemajuan dan teknologi yang di bawa Barat adalah sesat dan perlu ditolak habis-habisan. Contoh yang lain , suatu pemikiran yang mengatakan kehidupan mestilah menurut apa yang teks Al-Quran sampaikan sahaja dengan menafsirkan teks secara literal. Misalnya, membayar zakat melalui online mungkin tidak sah kerana tiadanya akad dan qabul secara lisan dan bersemuka. Ini yang saya namakan ekstrem kanan.

Jangan kita lupa ada juga ekstrem kiri, suatu pemikiran membebaskan manusia dari semua ikatan hirarki dan autoriti termasuk tradisi yang baik diterima masyarakat setempat. Misalnya, gerakan LGBTQ yang menghalalkan perkahwinan sesama jenis dan galakan perhubungan songsang sesama jantina atas nama kebebasan mutlak. Selain itu, gerakan melemahkan undang-undang Islam dalam negara kita sekarang atas nama undang-undang Islam menyekat kebebasan individu. Yang paling sulit ibarat jarum halus ialah gerakan sekularisme sebagai suatu ideologi atas nama liberalisme dan relativisme. Gerakan sekularisme ini ialah suatu pandangan alam yang memisahkan kehidupan dari agama secara total. Manusia mempunyai kebebasan mutlak dan tidak lagi percaya manusia mempunyai ikatan dengan dunia metafizik berdasarkan etika yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Mereka juga menolak hirarki dan autoriti dalam kehidupan dan percaya kebenaran dan hakikat suatu itu tidak ada. Kebenaran dan hakikat adalah berdasarkan pengalaman dan kepercayaan mereka sendiri sahaja.

Inilah dua pemikiran ekstrem pemikiran yang wujud di Malaysia sekarang, Dua pemikiran ekstrem ini juga dibawa oleh parti-parti politik. Tidak menghairankan ada parti politik yang secara jelas meletakkan dalam perlembagaan partinya meletakkan perjuangan menegakkan perlembagaan Malaysia sebagai perlembagaan yang sekular walaupun itu tidak benar sama sekali kerana Perlembagaan Malaysia ialah sebuah perlembagaan yang tidak sekular.

Ini kerana negara sekular bermaksud negara yang tidak masuk campur langsung dalam hal ehwal agama dan bersifat neutral terhadap mana-mana agama. Walhal di Malaysia, duit cukai rakyat digunakan demi kemajuan agama Islam sahaja! Mana mungkin atas dasar ini Malaysia ialah sebuah negara sekular!

Inilah punca fenomena-fenomena hodoh seperti takfiri dan kebebasan mutlak melalui kempen parti politik telah menjadikan negara kita sekarang sebagai negara polarisasi iaitu ekstrem kanan dan ekstrem kiri. Tiada lagi mereka yang bersifat waras dan ‘hikmah’ yang menyarankan kedua-dua ufuk esktrem ini untuk kembali ke titik tengah.

Sebagai penyelesaian saya menyarankan kita merangkul kembali ‘permata’ yang sudah hilang dalam masyarakat iaitu sifat kesederhanaan dalam pemikiran politik yang saya namakan sebagai ‘Malaysia Saksama’. Malaysia Saksama ialah mengembalikan Malaysia ke titik tengah dalam menguruskan hal-hal politik , ekonomi dan sosial. Malaysia Saksama ialah mengembali dan mengukuhkan polisi politik, ekonomi dan sosial dengan tiga prinsip iaitu Adil, Adab dan Cermat (Konservatif).’Saksama’ menurut perbendaharaan kamus Melayu merangkumi tiga prinsip yang harmoni iaitu adil, adab dan cermat. Dengan menjadikan ‘saksama’ sebagai asas falsafah politik baru, negara dapat mengembali dan mengukuhkan polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam perihal politik ‘Malaysia Saksama’ menyarankan supaya rakyat Malaysia kembali memberikan pengiktirafan dan melaksanakan kepada apa yang telah termaktub dalam ‘kontrak sosial’ semasa Malaysia mencapai kemerdekaannya. Pertama , Islam mendapat tempat istimewa di Malaysia sehingga Perlembagaan Negara meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Ramai yang tersalah dan keliru mengatakan Islam sebagai agama rasmi . Sebenarnya. Malaysia ini seolah-olah beragama dan agamanya ialah Islam. Ini juga bermaksud mana-mana undang-undang yang cuba diperkenalkan menyalahi ajaran Islam adalah tertolak sama sekali void ab initio. Jika ada deraf undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan sejenis misalnya di Parlimen maka ianya tidak boleh dibentangkan langsung atas menyalahi ajaran Islam. Selain itu, janganlah ada lagi yang mempersoalkan undang-undang jenayah Islam di negeri-negeri yang hanya terpakai untuk orang Islam sahaja.

Kedua mengiktiraf bahawa Malaysia mengamalkan diskriminasi positif iaitu suatu keistimewaan diberikan kepada kaum majoriti di Malaysia iaitu Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak. Misalnya, janganlah lagi ada yang mempersoalkan mengapa UITM dibuka hanya pada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sahaja. Kesemua ini dilaksanakan dengan tidak menekan mana-mana kaum lain dan jaminan kebebasan untuk kaum lain mengamalkan agama mereka masing-masing. Pendirian ini adalah adil, beradab dan cermat.

Dalam perihal ekonomi ‘ Malaysia Saksama’ mengembalikan dasar ekonomi ke titik tengah dengan mengiktiraf ada beberapa perkara memerlukan monopoli dan Kerajaan untuk terlibat dalam pasaran. Tidak semua monopoli itu buruk seperti yang difahami dengan falsafah ekonomi kapitalisme. Misalnya, kita perlu mengiktiraf monopoli oleh syarikat berasaskan Kerajaan dalam aset-aset negara yang strategik. Misalnya aset minyak kita mesti terus diuruskan oleh syarikat kepunyaan negara seperti PETRONAS. PETRONAS mesti diperkasakan dan tidak digangggu gugat untuk terus menguruskan pentadbiran minyak dan gas negara dan negeri-negeri tidaklah menekan PETRONAS dengan memohon royalti yang tidak munasabah sehingga menganggu margin keuntungan PETRONAS untuk membuat pelaburan semula carigali minyak dan gas di dalam dan luar negara.

Dalam perihal sosial ‘ Malaysia Saksama’ menekankan perlu dikembalikan pendidikan tinggi yang menekankan faham Islam ke peringkat Ihsan. Pendidikan ini menekankan pembelajaran pandangan alam Islam yang betul dan benar mengenai hakikat Ketuhanan, hakikat Wahyu, hakikat Penciptaan, hakikat Manusia. Hakikat Jiwa, Hakikat Ilmu, Hakikat Kebebasan, hakikat Nilai dan Kebaikan serta Hakikat Kebahagiaan kerana insan adalah subjek utama dan pemain politik yang mencorak dan membina politik, maka hakikat manusia mestilah difahami dengan benar.

Apa yang saya lontaran di atas adalah sekelumit penyelesaian kepada fenomena hodoh yang berlaku di Malaysia sekarang kerana ruangan yang terhad ini. Jika semua pemimpin politik mengiktiraf dan kembali ke pemikiran titik tengah -Malaysia Saksama maka Malaysia mempunyai harapan untuk kembali stabil dan pemimpin lebih berupaya untuk menumpukan kepada pembangunan ekonomi. Konsep Malaysia Saksama mesti ditancap dalam setiap sanubari rakyat Malaysia mulai sekarang. Ingatlah meruntuh itu mudah, membina itu payah.