Oleh : Mohd Jamizal Zainol, Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia
Seolah-olah seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan ekonomi Malaysia apabila nilai ringgit semakin merudum berbanding dolar Amerika. Kita tentu tertanya-tanya mengapa nilai ringgit terus menjunam walaupun Menteri Ekonomi baru-baru ini mengatakan prestasi ekonomi kita bertambah baik dengan inflasi menunjukkan unjuran penurunan kepada 3.1 peratus sekarang. Ada pandangan mengatakan nilai ringgit tidak melambangkan kedudukan ekonomi sesebuah negara. Petunjuk-petunjuk lain seperti Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK), jumlah hutang, jumlah defisit dan rezab negara juga perlu diambil kira. Inflasi meningkat selepas COVID 19 ialah kerana pengeluaran yang rendah, ianya bukanlah bermakna permintaan dalam pasaran meninggi sehingga perlu dinaikkan kadar faedah. Sebaliknya yang berlaku pengeluaran menjadi rendah kerana banyak perusahaan dan perniagaan gulung tikar semasa COVID19. Daripada kita menaikkan kadar faedah sepatutnya kerajaan turunkan lagi kadar faedah supaya para pemodal dan pengeluar dapat membuat pinjaman dengan faedah yang rendah supaya perniagaan dapat dipulihkan seterusnya pengeluaran dapat dipertingkatkan!
Sememangnya saya tidak nafikan kejatuhan ringgit tidak melambangkan kedudukan sebenar ekonomi tetapi kejatuhan ringgit secara falsafahnya menunjukkan peranan Malaysia di mata dunia semakin terhakis. Kedudukan Malaysia dalam menarik pelaburan berimpak tinggi juga semakin hilang. Ini menunjukkan ringgit tidak menjadi pilihan dalam transaksi perdagangan antarabangsa. Asbab utama tentulah akibat ketidakstabilan politik di mana Malaysia bertukar 3 Perdana Menteri dalam satu penggal. Pernah saya cadangkan dalam penulisan yang lepas supaya kerajaan mengeksport minyak sawit dan gas cecair asli dalam ringgit Malaysia supaya nilai ringgit dapat dipulihkan secara drastik tetapi cadangan ini masih belum dilaksanakan mungkin kerana pelbagai alasan yang akan diberikan untuk tidak melaksanakan cadangan ini.
Namun kita tidak boleh putus harapan. Hadirnya PM10 mengemudi negara dengan 2/3 majoriti akan memberikan kestabilan politik dan seterusnya memacu dan memulihkan kembali keyakinan pelabur. Setakat ini pelbagai pengumuman dilakukan terutama pendekatan pembasmian rasuah dan tatakelola yang baik cuma hasilnya belum nampak secara tuntas. Pelaburan asing pula selain pengumuman pelaburan Amazon yang belum menampakkan hasilnya secara tuntas, PM10 mengumumkan lagi bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan Elon Musk bagi meningkat pelaburan di Malaysia.
Sebenarnya, apa yang diperlukan oleh negara adalah falsafah baru dan agenda baru ekonomi Malaysia. Ya, melawan rasuah penting dan tatakelola yang baik itu penting tetapi apabila kita bercakap berkenaan memacu ekonomi kata kuncinya ialah peningkatan pelaburan dan aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara. Ini hanya dapat dimanifestasikan jika adanya pengumuman projek-projek berimpak tinggi yang mempunyai kesan rantaian (trickle effect) kepada sektor ekonomi yang lain. Begitu juga dalam krisis ekonomi, yang perlu di lakukan ialah menggalakkan rakyat terus berbelanja dan suntikan dana kerajaan dalam pasaran supaya aktiviti ekonomi terus berdaya maju. Menaikkan OPR atas alasan mengikut langkah Amerika adalah tindakan yang tidak bijak. Mengapa harus kita mengikut Amerika yang terpaksa menaikkan faedah kerana ingin menyelesaikan masalah mereka. Kita tidak sepatutnya mengikut langkah itu atas alasan untuk mengelakkan pengeluaran modal keluar dari Malaysia atas alasan pemodal akan menyimpan wang ditempat yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi. Ya, ianya mungkin berlaku tetapi masalah rakyat Malaysia yang terpaksa membayar pinjaman dengan lebih banyak perlu diutamakan!
Masalah rakyat Malaysia yang perlu diberi tumpuan oleh Bank Negara! Bukan memikirkan kepada para pemodal. Disebabkan kenaikan OPR duit boleh belanja rakyat menjadi menipis dan ini membuatkan mereka tidak mahu berbelanja. Walhal semasa krisis seperti yang saya katakan rakyat mesti terus berbelanja. Adalah suatu langkah yang kurang cerdik apabila berlakunya krisis kita terus menyimpan duit di bawah bantal dan tidak berbelanja kerana ini akan menjadi punca kelembapan perniagaan dan perusahaan dalam negara. Kesannya keuntungan perniagaan ini akan mengecil dan jika tidak bernasib baik perniagaan ini terpaksa mengurangkan pekerja maka meningkatlah pengangguran. Meningkatnya pengangguran maka akan meningkatlah kadar jenayah! Untuk itu kadar OPR sekarang 3% sudah optimum dan menaikkannya lagi boleh meninggalkan kesan buruk kepada negara.
Justeru, untuk menarik pelaburan suasana dan polisi Malaysia mestilah menarik dan kondusif. Jika agenda ekonomi Malaysia masih ditakuk lama dengan polisi yang tidak tetap dan tidak terurus maka pelaburan tidak akan masuk malah akan terus menjauh. Misalnya yang paling mudah berkenaan polisi pengeluaran KWSP di waktu susah yang mana polisi ini berubah-ubah mengikut kecenderungan politik. Jika menjadi Kerajaan, parti yang dulu memperjuangkan pengeluaran KWSP bagi memulihkan ekonomi isi rumah apabila menjadi Kerajaan menghalangnya pula. Sepatutnya kita mempunyai polisi yang tetap berkenaan hal ini bukan hanya atas desakan politik semata-mata.
Untuk itu saya mencadangkan Malaysia tidak hanya bergantung kepada eksport komoditi semata-mata seperti minyak sawit dan gas cecair asli (LNG) di mana Malaysia adalah antara pengeksport terbesar dunia tetapi perlu mengorak langkah dalam menumpukan kepada ekonomi maritim (maritime economy). Ekonomi maritim bermaksud penekanan kepada meningkatkan kemudahan pelabuhan-pelabuhan di Malaysia supaya kita menjadi Pelabuhan serantau yang paling efektif dengan perkhidmatan pengurusan pelabuhan terpantas. Selain itu sebagai sebuah negara maritim dan kedudukan Malaysia di Selat Melaka yakni laluan tersibuk di dunia yang menghubungkan dunia Barat dan Timur, Malaysia mesti memposisikan dirinya sebagai negara pelabuhan terbaik di rantau ini. Naratif ini sudah semestinya mudah untuk Malaysia kerana dari segi faktor sejarah kita bermula dari Kerajaan Srivijaya yang pernah menjadi kerajaan kuasa maritim yang hebat di dunia. Melayu itu sendiri memperkenalkan tempat tumpah darahnya sebagai “Tanahair” yakni keterikatan yang cukup erat dengan air.
Tambahan pula sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa dimana kargo banyak diuruskan secara jalan laut , maka komponen terpenting ialah mempunyai pelabuhan bertaraf dunia, Pelabuhan yang baik mestilah dihubungkan dengan sistem pengeluaran dalam negara, logistic, infrastruktur dan komunikasi yang baik dan bertaraf dunia.
Paling asas, kerajaan mesti membuat pelaburan meningkatkan kualiti jalan raya yang menghubungkan kawasan pengeluaran dengan pelabuhan. Jalan raya itu mestilah besar luar dan tidak sesak supaya lori-lori kargo dapat menghantar kargo mereka dengan pantas dan efektif ke pelabuhan-pelabuhan terdekat. Ini semua perlu dirancang dengan baik.
Cadangan saya kerajaan perlu melaksanakan satu projek impak besar dalam menjana ekonomi maritim ini seperti projek infrastruktur terbesar dunia pelabuhan kapal ke kapal (World Largest Ship to Ship) di Had Pelabuhan Johor Bharu. Dicadangkan projek ini dibangunkan melalui kaedah pembiayaan swasta. Ianya akan menjadi pelabuhan Ship to Ship terbesar di dunia yang akan menempatkan pemilik kapal-kapal tangki antarabangsa. Dijangka ianya berpotensi menjana sumber ekonomi baru kepada Malaysia di bidang maritim dengan anggaran pulangan KDNK lebih kurang RM400 billion ringgit dan seterusnya mewujudkan peluang 2300 pekerjaaan untuk rakyat Malaysia. Projek ini juga berupaya untuk membawa pelaburan asing ke dalam negara.
Pendek kata, Malaysia memerlukan fokus kepada agenda ekonomi baru. Untuk itu, saya berpegang kepada mantra sesuatu kerajaan tidak akan tergugat jika pengurusan ekonominya baik. Datanglah apa cabaran sekali pun 3R atau fitnah politik sebesar mana pun jika kerajaan dapat menakhoda ekonomi dengan baik kerajaan itu tidak akan jatuh dan akan terus disokong oleh rakyat. Dan jika cadangan ini dilaksanakan saya yakin pemulihan ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih baik dan kerajaan Madani akan terus mendapat mandat rakyat untuk satu penggal ini.