Oleh : Mohd Jamizal Zainol, Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)
Seingat saya di pembelajaran di peringkat rendah atau menengah kita tidak didedahkan sangat dengan subjek-subjek pengurusan kewangan. Jika ada pun ianya tentulah begitu asas sekali. Pengurusan kewangan suatu subjek yang luas dan penting terutama di masa sekarang. Pengurusan kewangan bukan hanya terdiri dari ilmu menyimpan atau menabung tetapi juga berkait ilmu mengatasi risiko melalui insuran, pelaburan kewangan supaya simpanan kita dapat digandakan dan juga ilmu mengenai pengurusan cukai persendirian atau perniagaan.
Kita sudah tentu maklum bahawa ramai anak muda 58 peratus golongan yang diisytiharkan bankrap adalah golongan berusia 25 hingga 44 tahun. Hasil kajian menunjukkan puncanya ialah penggunaan kredit kad yang berlebihan dan pembelian kereta yang melebihi kemampuan. Puncanya ini masyarakat sudah maklum, namun di masa yang akan datang pada hemat saya masalah baru yang akan dihadapi oleh masyarakat Malaysia ialah pengurusan cukai yang lemah. Natijahnya, mereka akan terdedah kepada penalti, denda dan yang lebih buruk pendakwaan di Mahkamah.
Kesalingkaitan cukai dan negara sangat rapat. Sebuah negara berdaulat yang dipilih oleh rakyat mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas rakyatnya. Secara falsafahnya cukai dikenakan atas dua sebab pertama bagi menambahkan hasil negara dan dengan hasil ini akan dipulangkan kepada rakyat melalui perbelanjaan kemudahan-kemudahan asas bagi kepentingan rakyat dan membayar emolumen pegawai-pegawai kerajaan. Namun saya tertarik dengan fungsi cukai yang juga digunakan untuk mengawal tindak tanduk seorang manusia. Misal yang paling mudah adalah mengenakan cukai yang tinggi ke atas rokok boleh membantu manusia untuk meninggal tabiat merokok kerana penjual rokok terpaksa mengenakan harga yang lebih tinggi terhadap jualan rokok. Pendek kata cukai yang dikenakan perlulah optimum yakni tidaklah terlalu menekan sehingga mengganggu pertumbuhan negara. Deklarasi cukai yang telus juga dapat menghindarkan jenayah penggubahan wang haram dan rasuah.
Maka, penting sesebuah kerajaan meneliti dan merancang mengenai dasar cukai negara supaya hasil negara bertambah tetapi dalam masa yang sama ia tidak mengusir atau mengurangkan peningkatan aktiviti ekonomi dalam negara. Bagi rakyat menguruskan cukai mereka adalah amat penting. Selain sebagai suatu tanggungjawab sebagai rakyat, kita juga tidak mahu kegagalan mereka membuat deklarasi cukai akan mendedahkan mereka kepada pendakwaan di mahkamah.
Baru-baru ini seorang ketua pembangkang rumahnya digeledah atas alasan isu yang membabitkan cukai. Begitu juga dahulu kita dikejutkan dengan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin.
Berdasarkan kepada dua kes tersebut sudah tentu kita merasa hairan kerana mereka yang telah saya nyatakan hanya diambil tindakan apabila mereka sudah tidak lagi berkuasa. Tanpa hilang rasa hormat pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menguatkuasakan perundangan negara tetapi dicadangkan supaya tindakan lebih telus diambil supaya penguatkuasaan undang-undang percukaian ini tidak dilihat bermotifkan politik. Kerajaan sekarang yang bertunjangkan tatakelola yang baik saya rasa molek jika dicadangkan supaya LHDN meminda undang-undang berkaitan supaya deklarasi cukai ahli-ahli politik terutamanya yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dipamerkan kepada umum. Kaedah ini penting supaya, rakyat dapat memantau dan menilai sama ada seseorang ahli politik telah melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai yang berhemah. Ini mengelakkan hanya “ikan bilis “ yang ditangkap dan didakwa tetapi “jerung” sentiasa terlepas.
Perlu diingat bahawa pendapatan yang perlu di buat deklarasi bukan hanya pendapatan rasmi yang tetap tetapi juga perlu di buat deklarasi pendapatan dari sumber lain seperti hasil perniagaan dan sumber pendapatan yang lain.
Penguatkuasaan aparat negara yang adil tanpa memilih bulu sangat penting terutamanya dalam waktu sekarang di mana negara perlu meningkatkan pelaburan luar. Pelabur-pelabur luar hanya akan yakin jika mereka meyakini bahawa aparat kerajaan berfungsi dengan telus dan adil. Adil di sini berani juga mengambil tindakan sama ada mereka itu masih berkuasa dalam kerajaan atau sudah hilang kuasanya.
Kaedah memaparkan maklumat cukai ini kepada umum mampu untuk memastikan pengurusan cukai ini lebih telus sekaligus rakyat dapat memantau dan menjadi mata dan telinga kepada aparat kerajaan untuk melaksanakan tugas mereka tanpa rasa gentar.
Selain itu cadangan ini juga cukup berkesan bagi memantau kesalahan penggubahan wang haram. Melalui maklumat cukai terutama mereka yang memegang jawatan tertinggi kerajaan dan mempunyai kuasa untuk meluluskan projek-projek. Sebenarnya wang haram dan tindakan melarikan diri daripada cukai adalah sangat rapat dan berkaitan. Sudah tentu duit-duit yang diperolehi secara haram tidak akan berada dalam bank mahupun di deklarasikan kepada penguatkuasa kerana merekan akan disoal siasat. Maklumat yang dipaparkan nanti juga boleh mejadi suatu usaha Malaysia untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa dalam pertukaran maklumat dengan agensi penguatkuasaan negara-negara lain dalam menangani sindiket penggubahan wang haram. Kerjasama di peringkat antarabangsa sudah tentu meningkatkan nama Malaysia sebagai sebuah negara yang serius dalam memastikan pentadbiran yang bersih dan amanah.
Diharapkan cadangan ini dapat diambil perhatian oleh Kerajaan bagi menunjukkan ketelusan dan tatakelola yang baik. Jika di Britain Perdana Menteri Boris Johnson yang menipu semasa sesi parlimen semasa krisis COVID dalam Parlimen juga terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana memberikan maklumat yang salah, maka negara kita yang mempunyai sistem yang lebih kurang sama dengan Britain juga harus mengambil contoh yang sama. Mengelak membayar cukai dan culas dalam membuat deklarasi pendapatan mereka seharusnya di anggap suatu kesalahan yang serius. Perdana Menteri harus memberikan wewenang sepenuhnya kepada LHDN untuk juga memantau ahli-ahli politik kerajaan. Jika cadangan ini dijadikan undang-undang maka saya yakin ianya sekali gus akan mengelakkan mereka yang berkuasa daripada terlibat dalam penggubahan wang haram dan menerima komisen yang tidak sah atau rasuah. Ini mungkin suatu langkah lanjut dalam mengawal rasuah di negara kita. Saya yakin Kerajaan Madani yang fokusnya keadilan, ketelusan dan urus tadbir yang baik akan menyahut cabaran ini.