Isu dan Cabaran Kenaikan Kos Sara Hidup: Peranan Institusi dalam Menanganinya.

Oleh : Mohd Jamizal bin Zainol ,

Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE)

Assalamualaikum wrt. wbt. Salam Malaysia Madani.

Para jemputan, ahli-ahli akademik, para pemikir dan hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

  1. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas jemputan penganjur kepada saya untuk mewakili Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE) sebagai penganjur bersama International Conference on Syariah & Law 2023 yang bertemakan “Towards Sustainable Solutions in Addressing the Global Rise in Cost of Living”. Sebagai pengenalan Yayasan PEACE adalah sebuah badan pemikir yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258). Antara fungsi Yayasan PEACE adalah memberikan khidmat nasihat dalam pembentukan polisi awam dan ekonomi ke arah memajukan Malaysia yang saksama dengan acuan tradisi, adat dan budaya Malaysia.
  • Bagi kami Yayasan PEACE, penganjuran seminar ini sangat bertepatan sekali seusai pembentangan Belanjawan 2024, pembentangan Ekonomi Madani dan New Industrial Master Plan (NIMP) baru-baru ini. Tiga dokumen ini diharapkan dapat memacu ekonomi negara dengan lebih hebat dan menjadi kompas ke manakah arah ekonomi Malaysia selepas ini.
  • Namun demikian, perkara paling ‘awla’ dan utama dalam mana-mana negara sudah tentu perkara paling asas dalam ekonomi iaitu fokus untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang meningkat sehingga menekan hidup rakyat. Jika diteliti Indeks Harga Pengguna yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara menunjukkan corak peningkatan sejak Januari 2023 sehingga Ogos 2023 dari 129.5 mata ke 130.8 mata. Malah sejak tahun 2010 hingga ke tahun ini harga barangan menunjukkan trend peningkatan yang tinggi.
  • Apabila kita menyentuh soal peningkatan kos sara hidup ia bermaksud gabungan tiga elemen iaitu :
  • meningkatnya secara ketara harga barangan;
  • pertumbuhan pendapatan yang perlahan; dan
  • corak perbelanjaan isi rumah yang melebihi pendapatan.

Hadirin dan Hadirat sekalian,

Perangkap Kapitalisme

  • Sudah tentu peningkatan ketara kos sara hidup tidak dapat dielakkan kerana pada hemat kami, kita hidup dalam bingkai sistem ekonomi kapitalisme. Bangkitnya sistem kapitalisme diibaratkan oleh Francis Fukuyama sebagai “the End of History “adalah suatu titik perubahan sejarah yang dikatakan membawa kepada kemakmuran, kedamaian dan kebahagiaan terutama bagi mereka yang hidup dalam blok komunis yang mengamalkan dasar ekonomi sosialis yang dikatakan terkebelakang dan tidak berjaya.
  • Kapitalisme adalah suatu sistem ekonomi yang berasaskan kuasa pasaran (permintaan dan pengeluaran), pasaran bebas, pemilikan individu, kuasa pemodal, keuntungan yang melampau dan berasaskan fiat money. Sistem kapitalisme yang mementingkan pasaran bebas menyebabkan harga barangan akan terus meningkat kerana adanya permintaan yang tinggi atau kurangnya pengeluaran terhadap sesuatu barangan.
  • Yang paling parah, sistem kapitalisme ini dikatakan mewujudkan masyarakat yang berfikrah Maddiyah atau kebendaan! Kemewahan dikaitkan dengan label dan jenama tertentu. Jika tidak menggunakan atau memakai jenama tertentu maka kehidupan mereka dianggap tidak “berjaya”. Sistem kapitalisme mengajar masyarakat supaya terus mengejar kemewahan dengan memiliki jenama dan produk tertentu supaya dianggap berjaya. Hidup diluar batas kemampuan sehingga memberikan tekanan dalam menguruskan perbelanjaan seharian.
  • Misalnya, ada segelintir yang sanggup mengikat perut dan berhutang dengan banyak untuk membeli, meminjam dan menyewa kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Jaguar atau Lamborgini untuk bergaya dihadapannya lalu dikirim di media sosial seperti “Instagram” dan “Facebook” supaya mendapat pengiktirafan rakan-rakan media sosial supaya di “anggap berjaya”. Budaya “exhibitionism” ini mempopularkan konsep kejayaan yang tidak berasaskan kebenaran dan nyata tetapi menggalakkan kehidupan yang penuh kepalsuan.
  • Persoalannya adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan hanya menerima sistem kapitalisme ini menggigit kehidupan kita? Adakah kita tiada pilihan selain terus memeluk sistem kapitalisme tegar yang akan merobek dan terus menekan kehidupan mereka yang tidak berkemampuan? Sudah tentu tidak! Kerana semua sistem adalah bikinan manusia. Kita dikurniakan akal untuk menyelesaikan suatu masalah.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Oikonomos

  1. Oleh sebab itu, dalam sistem bernegara kita mempunyai kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat untuk menyelesaikan sebarang masalah melalui dasar dan polisi yang betul dan tepat. Betul dan tepat ini bermaksud suatu dasar ekonomi menurut acuan kita sendiri dengan mengambil kira tradisi, adat dan budaya Malaysia, tanpa mencedok membuta tuli sebarang penyelesaian negara lain yang belum tentu berkesan dan tuntas untuk negara kita.
  1. Kerajaan melalui aparat dan institusinya memainkan peranan dalam merencana dasar ekonomi yang adil. Paling penting tugas utama sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah memastikan kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan setiap tahun. Kualiti hidup rakyat yang saya maksudkan ialah kualiti hidup dalam sebuah rumah yang terdiri dari ibu, bapa dan anak-anak. Mereka sepatutnya mempunyai keperluan asas yang baik seperti rumah yang selesa, kenderaan yang baik, makanan yang sihat, kemudahan internet dan sedikit perbelanjaan untuk hiburan dan rekreasi.
  1. Ini bertepatan dengan definisi ekonomi itu sendiri yang diambil dari perkataan Greek “Oikonomos” yang bermaksud pengurusan isi rumah. Dengan kata lain, tidak ada gunanya kita berbangga dengan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport negara dan pelaburan asing meningkat, tetapi pendapatan dan kualiti hidup dalam sebuah isi rumah masih terhimpit dan tertekan.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kata Kunci Kos Sara Hidup dan Institusi

  1. Tajuk perbincangan kita pada pagi ini mempunyai dua kata kunci iaitu kos sara hidup dan peranan institusi. Kos sara hidup didefinisikan sebagai  belanjawan minimum untuk membeli sekumpulan barang dan perkhidmatan dalam mencapai tingkat taraf hidup tertentu. Berdasarkan definisi ini, isu peningkatan kos sara hidup boleh dikaitkan dengan dua perkara utama iaitu tingkat pendapatan dan taraf kehidupan seseorang individu. Pendapatan yang meningkat lebih perlahan daripada inflasi menyebabkan isi rumah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barang yang sama. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Negara di Malaysia tiga komponen utama perbelanjaan yang membentuk sara hidup setiap isi rumah ialah makanan, perumahan dan pengangkutan.
  1. Sementara itu, jangan pula kita nafikan perubahan dalam corak perbelanjaan bagi memenuhi taraf kehidupan yang berubah turut memberi kesan kepada kenaikan kos sara hidup isi rumah. Perubahan taraf hidup boleh berlaku akibat daripada perubahan status barang ekonomi isi rumah daripada barang keperluan kepada barang kehendak. Sebagai contoh, taraf kehidupan yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan telefon pintar dan internet menjadi suatu keperluan bagi isi rumah. Ini sekaligus menjadikan jumlah perbelanjaan isi rumah tersebut untuk tujuan komunikasi meningkat berbanding dengan sebelumnya, walaupun harga barangan tidak berubah.
  1.  Setelah memahami maksud dan definisi kos sara hidup, apa pula yang dimaksudkan sebagai Institusi? Menurut Roger Scrutton seorang ahli pemikir Inggeris mendefinisikan Institusi sebagai “an established law, custom, usage, practice, organization, or other element in the political or social life of a people; a regulative principle or convention subservient to the needs of an organized community.” Institusi adalah adat, budaya dan undang-undang setempat yang sudah tertancap kukuh atau suatu organisasi yang akan mengawal dan membentuk suatu dasar dan prinsip dalam masyarakat tersebut.

Hadirin dan Hadirat sekalian,

  1.  Pada hemat saya institusi ialah salah satu “ciptaan” manusia yang terhebat kerana dengan adanya institusi maka suatu prinsip, dasar, adat, budaya dan undang-undang yang telah dibina oleh generasi manusia terdahulu, sekarang dan masa hadapan akan terus kekal dan dilaksanakan. Manusia tidak hidup selama-lamanya. Manusia datang dan pergi tetapi Institusi akan terus kekal! Maka, mempunyai institusi yang kukuh dan dihormati adalah amat penting dalam hidup bernegara.
  1.  Dalam perihal perbincangan pagi ini, institusi dapat kita anggap sebagai organ kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan ekonomi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Bank Negara malah boleh juga merangkumi Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Islam Selangor ini sendiri dan termasuk badan-badan pemikir seperti Yayasan PEACE. Sesungguhnya, institusi-institusi ini mempunyai peranan khusus masing-masing dalam menangani kenaikan kos sara hidup di Malaysia.

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,

Peranan Kerajaan Mengawal Inflasi

  1.  Inflasi atau peningkatan harga barang ialah suatu fenomena yang tidak dapat dielakkan dalam sistem ekonomi kapitalisme. Tanggungjawab mengawal inflasi berada di atas pundak kerajaan. Mengawal inflasi menjadi salah satu tugas penting kerajaan terutama Bank Negara. Inflasi yang tidak terkawal ibarat “perompak bersenjata” atau “pembunuh upahan” yang terlalu ganas dan jika tidak terkawal mampu menumbangkan sesebuah kerajaan. Ya kita faham bahawa inflasi akan terus meningkat tetapi ia harus terkawal.
  1.  Di era pasca pandemik COVID 19 sekarang, fenomena peningkatan harga barang keperluan agak serius. Kita pernah mengalami fenomena barangan keperluan seharian seperti minyak masak berasaskan sawit meningkat sekali ganda. Bekalan ayam terputus dan jika adapun harganya meningkat di luar jangkaan. Harga telur yang menjadi sumber protein utama juga meningkat harganya dengan tinggi.
  •  Sebenarnya fenomena ini boleh dijangkakan kerana semasa COVID-19, kerajaan telah menukar polisi ekonomi negara dengan menurunkan kadar faedah dan memberikan bantuan tunai secara agresif. Polisi dan undang-undang yang dibentuk ketika COVID-19 ini adalah suatu ijtihad pada masa itu sebagai langkah drastik bagi meningkatkan pendapatan rakyat menghadapi COVID-19. Polisi ini memberikan lebihan tunai kepada rakyat untuk berbelanja semasa ramai rakyat tidak dapat bekerja dan disekat pergerakan mereka.
  • Secara teorinya apabila ada lebihan tunai kepada rakyat, maka rakyat akan berbelanja dengan hebat dan ini meningkatkan permintaan dalam pasaran. Permintaan tinggi dalam pasaran menyebabkan pengeluaran sesuatu produk perlu ditingkatkan mengisi permintaan yang tinggi. Pada waktu itu, dengan sekatan pergerakan dan banyak industri yang terpaksa ditutup sudah tentu pengeluaran sesuatu produk akan terjejas. Pengeluaran yang rendah menyebabkan kekurangan bekalan dalam pasaran. Ditambah dengan permintaan yang tinggi maka sudah tentu harga produk akan melambung.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  •  Natijahnya, kesan ini akan berlanjutan selepas beberapa tahun ekonomi dibuka semula. Pihak pengeluar sudah tentu baru bermula untuk menstabilkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi. Ini memerlukan sedikit masa kerana para pengeluar baru hendak bermula semula bagi meningkatkan pengeluaran. Mesin-mesin dan peralatan pengeluaran yang dijual semasa pandemik dek kerana desakan hidup sewaktu COVID 19 sekarang mungkin perlu dibeli semula. Modal untuk membuka semula perniagaan diperlukan untuk membeli semula aset-aset pengeluaran. Peningkatan kadar faedah berterusan oleh Bank Negara sudah tentu merencatkan usaha ini kerana pinjaman untuk membeli semula aset pengeluaran akan menjadi terlebih mahal. Namun, baru-baru ini Bank Negara telah membuat keputusan untuk tidak lagi meningkatkan kadar faedah dan dikekalkan 3% yang pada pandangan saya adalah suatu langkah bijak bagi memulihkan semula kapasiti pengeluaran. Janganlah kita terikut-ikut dengan langkah Amerika Syarikat yang menaikkan kadar faedah dan menjadi asbab untuk Bank Negara juga menaikkan kadar faedah. Amerika Syarikat mempunyai cara dan kaedah mereka sendiri dalam  mengurus ekonomi mereka dan Malaysia mempunyai masalah ekonomi yang berbeda dengan Amerika Syarikat dan penyelesaiannya harus mempunyai kaedah kita yang tersendiri.
  • Persoalannya sekarang apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengawal peningkatan harga yang mendadak terutamanya kepada keperluan asas rakyat? Kita perlu faham bahawa ekonomi ini mempunyai pusingannya, masa diperlukan untuk menstabilkan kembali harga barangan di pasaran. Ia melibatkan prinsip permintaan dan pengeluaran dalam pasaran. Apabila industri sudah kembali pulih dalam membuat pengeluaran secukupnya maka harga akan kembali stabil. Namun demikian, disinilah peranan kerajaan. sementara menunggu pasaran kembali pulih berasaskan prinsip “tangan ghaib” atau secara semulajadi, kerajaan perlu “menganggu” pasaran bagi memastikan sesuatu harga produk asas keperluan rakyat tidak melambung tinggi sehingga menekan kehidupan rakyat. Untuk itu, beberapa produk asas yang menjadi keperluan rakyat seperti ayam, telur dan minyak masak mesti terus dikawal.
  •  Pada hemat kami, kadar faedah tidak sepatutnya dinaikkan lagi dan dikekalkan pada kadar sekarang. Kenaikan kadar faedah dengan lebih tinggi akan menyebabkan pinjaman untuk mendapatkan dana membeli aset pengeluaran akan menjadi lebih mahal dan merencatkan usaha pembelian semula aset-aset pengeluaran oleh industri. Dicadangkan juga bagi minyak masak yang berasaskan sawit, harga boleh distabilkan dengan kerajaan yang mengawal konglomerat seperti Felda dan Sime Darby supaya mengarahkan konglomerat-konglomerat ini mensasarkan jualan minyak sawit ditumpukan kepada permintaan domestik. Memang benar dengan harga mata wang ringgit yang jatuh sekarang ini keuntungan berlipat kali ganda dapat dihasilkan dengan eksport minyak sawit ke luar negara akan mendapat permintaan yang tinggi kerana harganya lebih murah.
  •  Apa-apa saja rintangan dan alasan oleh konglomerat- konglomerat ini bagi membuat keuntungan luar biasa dalam keadaan sekarang perlu dihentikan segera oleh kerajaan demi menstabilkan harga minyak sawit domestik untuk keperluan rakyat Malaysia. Kita bukanlah penganut sistem ekonomi kapitalis tegar, kerajaan kita turut berniaga dan mempunyai kepentingan dalam konglomerat-konglomerat besar ini. Maka kerajaan mampu untuk mengawal mereka supaya tidak memikirkan keuntungan semata-mata dengan turut memastikan permintaan domestik terhadap minyak sawit menjadi perhatian utama dan sentiasa dipenuhi.
  •  Begitu juga dengan kekurangan ayam dan beras di pasaran mestilah tidak berulang. Perlu dilihat apakah punca pengeluarannya rendah di pasaran domestik. Jika ada berlaku simpanan pengeluaran ayam dan beras oleh pengusaha bagi meningkatkan harga ayam dan beras, maka kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka. Jika alasan pengeluaran ayam rendah kerana harga dedak ayam melambung menyebabkan pengusaha ayam terpaksa menutup perusahaannya, maka kerajaan perlu membuat polisi jangka panjang supaya rantaian perusahaan ayam ini terjamin di masa akan datang. Kerajaan perlu mempergiatkan tanaman bijirin di seluruh negara supaya makanan ayam tidak terputus dan tidak hanya mengharapkan bijirin yang diimport dari luar negara. Begitu juga dengan bekalan beras, subsidi dan insentif yang menarik mesti diberikan kepada para petani untuk menggalakkan usaha mereka dan menarik penanam padi generasi muda untuk mengusahakan pengeluaran padi
  •  Sebagai langkah jangka panjang atas dasar keterjaminan makanan, kerajaan perlu merangka dan melaksanakan sistem simpanan makanan (stockpile) dan sentiasa memantau sistem simpanan makanan ini.Perlu ada koordinasi antara kementerian-kementerian yang terlibat dalam jaminan makanan negara. Kementerian Pertanian, Kementerian Perladangan dan Komoditi Utama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Hal Ehwal Pengguna perlu digabungkan tanggungjawab dan diselaraskan untuk menggubal dasar jaminan makanan yang sistematik dan efektif. Semua rantaian pengeluaran makanan dari pengeluaran sehingga industri hatta ke peringkat penguatkuasaan perlu diselaras dan dikoordinasikan supaya tidak ada lagi sikap “membangau” iaitu menyalahkan antara satu kementerian dengan satu kementerian yang lain.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  •  Ada juga alasan yang diberikan bahawa peningkatan harga makanan ini adalah disebabkan nilai mata wang ringgit yang lemah menyebabkan import makanan menjadi mahal. Oleh itu Malaysia perlu mandiri. Dengan cuaca panas dan hujan sepanjang tahun kita perlu mempunyai pengeluaran makanan ruji sendiri yang secukupnya seperti beras. Dasar beras negara perlu memberikan tumpuan kepada penanaman padi tiga atau empat kali setahun. Insentif dan subsidi mesti diutamakan kepada penanam padi bukan hanya kepada syarikat import beras. 
  •  Malaysia adalah sebuah negara maritim dan oleh yang demikian, bekalan protein kita sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah. Industri perikanan laut dalam harus diperkasakan dengan menyediakan kembali insentif dan subsidi secukupnya bagi penangkapan ikan laut dalam. Kita pernah mempunyai dasar mengenai industri perikanan dan nelayan laut dalam. Mungkin kerajaan boleh melihat semula dasar ini dan disesuaikan dengan rangka ekonomi Madani.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  •  Kerajaan yang kompeten dan stabil akan meningkatkan keyakinan pelabur. Keyakinan dari pelabur akan meningkatkan nilai matawang Malaysia. Atas apa alasan sekali pun harga ringgit yang lemah dan terus jatuh akan menyebabkan kita akan bertambah miskin. Jika dahulu misalnya kita boleh membeli suatu barangan dengan harga seratus ringgit sekarang kita harus membelinya dengan harga seratus dua puluh ringgit. Untuk itu, kerajaan perlu mencari apa sahaja jalan dan kaedah bagi meningkatkan semula nilai ringgit.
  •  Setakat hari ini kelihatan ringgit masih dalam keadaan lemah. Kelemahan ringgit memberikan kesan besar kepada harga barangan juga. Malaysia mengimport sebahagian makanan dari luar dan kelemahan ringgit menyebabkan harga makanan import menjadi lebih mahal. Import makanan mencatat nilai RM63.6 bilion pada 2022, manakala setakat Januari hingga April 2023 mencecah RM25.4 bilion. Malaysia masih mengimport makanan seperti bawang, bijirin jagung dan soya, memandangkan produk itu belum kita dapat hasilkan di sini secara komersial.
  •  Sebagai cadangan, memandangkan Malaysia ialah antara pengeksport terbesar dunia Gas Cecair Asli (LNG) dan Minyak Sawit, maka kerajaan perlu meneliti melalui perbincangan dengan PETRONAS dan Malaysian Palm Oil Berhad (MPOB) untuk menjual hasil eksport utama negara sepenuhnya dalam ringgit dalam suatu tempoh tertentu supaya nilai ringgit dapat diperkukuhkan dengan kadar segera. Inisiatif de-dollarisation dalam perdagangan antarabangsa seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah suatu permulaan baik dan harus disokong. Menjual hasil mahsul terbesar negara seperti LNG dan minyak sawit sepenuhnya dalam ringgit dipercayai akan meningkatkan penggunaan matawang ringgit sekaligus meningkatkan nilainya.

Hadirin dan hadirat sekalian,

 Peranan Bank

  • Bank juga memainkan peranan penting dalam mengawal kos sara hidup melalui kawalan hutang isi rumah. Kerajaan disarankan lebih menumpukan kepada pengawalan hutang isi rumah supaya terkawal kerana Professor Steve Keen seorang ahli ekonomi Australia dalam karya terbarunya The New Economics berpendapat punca kepada inflasi yang tinggi juga disebabkan cetakan wang yang tidak terkawal bukan hanya oleh Bank Negara tetapi juga bank-bank swasta secara tidak langsung melalui hutang yang diberikan kepada individu. Setakat Disember 2021, hutang isi rumah di Malaysia ialah pada kadar 89% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini agak tinggi, terutama pinjaman perumahan dan kereta. Kerajaan perlu mencari insentif dan strategi supaya rakyat Malaysia lebih yakin untuk menyewa daripada membeli rumah supaya tidak terbeban dengan hutang jangka panjang.

Peranan Institusi Pengajian Tinggi dan Badan Pemikir

  • Bagi memastikan kerajaan dapat mencari root cause dan kaedah penyelesaian tuntas dalam menangani kos sara hidup, Institusi Pengajian Tinggi dan Badan Pemikir juga berperanan dalam membuat analisis dan penyelidikan dalam menangani kos sara hidup yang tidak terkawal. Hasil kajian boleh dikongsikan dengan pembuat dasar supaya dasar yang dibentuk lebih efektif dan berkesan. Antara cadangan tajuk atau isu yang boleh dibuat kajian mendalam ialah hubungan antara peningkatan kos barangan dengan corak perbelanjaan isi rumah. Benarkah, keadaan yang terhimpit sekarang kerana kos barangan yang meningkat diluar kawalan ataupun disebabkan corak perbelanjaan sudah berubah kerana pendapatan meningkat maka setiap isi rumah berbelanja lebih untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Begitu juga kajian mendalam mengenai kos sara hidup berdasarkan lokasi luar bandar dan di bandar. Ini kerana sudah tentu dasar menangani kos sara hidup dan di luar bandar ada perbedaannya.

Hadirin dan Hadirat Sekelian,

Faham Dasar Ekonomi Malaysia Perlu Berubah

  • Selain itu, faham dasar ekonomi Malaysia harus berubah. Kita jangan terlampau terkongkong dengan idea globalisasi sehingga Malaysia tidak dapat mandiri. Para pembuat dasar ekonomi negara harus bergerak ke arah dasar ekonomi yang “resilience” atau berdaya tahan. Sepatutnya kerajaan memberikan tumpuan supaya ekonomi Malaysia lebih mandiri tanpa mengharapkan negara lain terutamanya dari sudut keterjaminan makanan (food security). Kaedah ini dinamakan “lokalisasi” melihat industri mana yang Malaysia harus tumpukan yang Malaysia mempunyai kelebihan “competitive edge” berbanding negara lain. Sebagai negara beriklim khatulistiwa di mana sayur-sayuran tumbuh segar di negara kita, maka galakan harus diberikan oleh kerajaan supaya industri pertanian dapat berkembang dengan meluas. Sayuran dan buah-buahan segar perlu dijadikan industri “raksasa” di negara kita terutama melalui pertanian vertikal atau menegak.
  • Pertanian vertikal ialah amalan menanam hasil dalam lapisan bersusun menegak. Amalan ini boleh menggunakan kaedah penanaman tanah, hidroponik atau aeroponik. Pertanian vertikal cuba menghasilkan makanan dalam keadaan persekitaran yang mencabar, di mana tanah pertanian tiada atau tidak tersedia. Ini boleh dilaksanakan di kawasan bandar di mana tanah pertanian sangat terhad. Pertanian vertikal ini boleh menjimatkan kos pengangkutan yang sebelum ini makanan organik sayuran dan buah-buahan segar datang dari kawasan luar bandar.
  • Saya juga tertarik dengan suatu cadangan yang dilontarkan  oleh  Rana  Faroohar  dalam bukunya Homecoming : The Path to Prosperity in a Post Global World yang  mencadangkan pengeluaran makanan bukan dari haiwan atau tumbuhan- tumbuhan tetapi penghasilan makanan dari mikrob. Ia nampak seperti mustahil tetapi teknologi ini sudah berkembang di Amerika Syarikat di mana karbon, nitrogen, hidrogen dan oksigen yang terdapat di dalam udara dan air ditukar dan diubah menggunakan sumber tenaga mudah alih untuk menghasilkan pelbagai mikrob yang kemudian digunakan untuk menghasilkan molekul-molekul makanan seperti protein, lemak, karbohidrat dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun mikrob digunakan untuk penghasilan makanan dengan menggunakan mikroorganisma untuk menjalankan proses penapaian, yis, acuan dan bakteria untuk membuat produk makanan seperti roti, cuka, yogurt dan keju, serta ikan, daging dan sayur-sayuran yang ditapai.

Penutup

  •  Akhirul kalam, saya sekali mengucapkan berbanyak terima kasih atas penganjuran seminar ini. Mudah-mudahan hasil perbincangan dan sumbang saran kita ini mendapat keberkatan dari Allah SWT. Diharapkan cadangan-cadangan yang tuntas dapat dikumpulkan dan suatu resolusi dapat dihasilkan selepas seminar ini untuk kita kongsi dan sampaikan kepada kerajaan.

Sekian.