Falsafah Konservatisme Sebagai Kelangsungan Negara Bangsa Malaysia

Oleh : Mohd Jamizal bin Zainol

Pengerusi, Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)

Hal-hal terkait falsafah politik penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa seperti Malaysia. Malaysia telah diasaskan dan didasari dengan suatu bentuk falsafah politik tertentu. Para pengasas dan pemikir negara kita yang terdahulu dengan penuh bijaksana berjaya membentuk negara kita yang jamak budaya, agama dan kaum dengan jayanya sebagai sebuah negara bangsa. Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana bersifat majmuk dan ada beberapa ciri yang akan dihuraikan dalam makalah ini yang tidak terdapat pada negara lain di dunia. Keunikan ini memerlukan ahli politik dan pembuat dasar menyelesaikan masalah masyarakat Malaysia dengan cara dan kaedah yang unik bagi mengekalkan keharmonian negara.

Pada tahun 2019, saya telah menulis berkaitan keunikan Malaysia dan falsafah politik yang mendasarinya di dalam sebuah karya kecil iaitu Falsafah Politik Malaysia: Suatu Wacana Tradisi, Adat dan Budaya. Perbahasan di dalam buku tersebut mungkin hanyalah suatu pengantar bagi meletakkan suatu kerangka fikir politik, ekonomi dan etika yang perlu dipertahankan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan Malaysia. Kerangka fikir  itu ialah suatu bentuk falsafah politik sederhana bagi mengimbangi pemikiran ekstrem kanan yang  diistilahkan sebagai kejumudan yakni menolak terus sebarang perubahan dan selesa ditakuk lama walaupun dalam perkara yang salah. Pemikiran esktrem kiri iaitu sekularisme dan liberalisme.

Karya itu mengangkat konservatisme sebagai suatu falsafah politik yang sederhana. Konservatisme telah disalah anggap sebagai jumud dan kolot. Walhal, konservatisme ialah suatu falsafah politik yang sederhana selari dengan nilai agama. Konservatisme tidak menolak perubahan, islah dan reformasi tetapi hanya menerima perubahan dengan cermat, beradab dan adil dengan mengambil kira tradisi, adat dan budaya Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan konservatisme? Banyak definisi boleh kita temui dalam ilmu falsafah politik. Definisi oleh seorang pemikir Inggeris Sir Roger Scruton amat bersesuaian sekali dengan tradisi Malaysia. Beliau telah mengaitkan konservatisme dengan konsep kebebasan. Beliau dengan tegas mengatakan – kebebasan manusia tidak akan tercapai tanpa mengambil kira tradisi, adat dan kebudayaan masyarakat. Menurut beliau konservatisme ialah falsafah dan ideologi budaya, sosial dan politik yang menekankan dan memelihara institusi-institusi tradisi, adat dan nilai. Falsafah konservatisme berbeza menurut adat dan budaya masyarakat setempat.

Saya pernah ditanya mengapa “konservatisme” ini dipilih sebagai sandaran kepada falsafah politik Malaysia walhal istilah ini masih mengekalkan  faham Barat. Sebaliknya, istilah “konservatisme” ini dipilih kerana istilah ini mudah diterima apabila membahaskan persoalan falsafah politik kerana istilah konservatisme ini telah larut, menyerap dan mencair dalam korpus ilmu falsafah politik. Istilah ini juga mudah difahami dan diterima oleh semua kelompok yang berkeahlian dalam bidang sains politik. Selain konservatisme, ada lagi teori-teori lain tentang falsafah politik seperti anarkisme, authoritisme, komunisme, libertarianisme, dan yang terkini environtalisme.

Di Malaysia, pelbagai isu melanda setiap hari di dada akhbar yang kadang-kala sensitif seperti isu halal, tulisan jawi, papan tanda yang tidak berbahasa Melayu dan terbaru mengibarkan bendera negara asing di sekolah. Kita perlu bertanya berapa lama lagi kita dapat mempertahankan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati selama ini sebagai sebuah negara. Malaysia ialah negara yang majmuk dan sudah tentu banyak sekali isu sensitif yang perlu ditangani. Salah cakap sahaja ada sahaja pihak yang melenting. Tidak seperti Jepun, Korea, China, India dan beberapa negara lain yang sifatnya homogenous hanya ada satu bangsa dan warna kulit yang sama dalam sebuah negara. Di negara-negara tersebut, lebih mudah mengurus dan merencana pelbagai agenda, polisi dan strategi perpaduan di negara yang tersebut berbanding Malaysia. Negara kita diasaskan secara kompromi. Tetapi berapa lama strategi kompromi ini dapat dipertahankan?

Sekian lama kita kekal aman dan damai kerana strategi kompromi ini tetapi ada faktor lain yang sebenarnya menjadi asas kepada keharmonian kita selama ini. Ini adalah kerana kebijakan dan hikmah yang ada kepada pemimpin negara terdahulu (founding fathers) yang berkompromi menerima kaum-kaum lain sebagai rakyat Malaysia melalui dasar jus soli tetapi mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama persekutuan. Selain itu, beberapa dasar yang baik dan utuh telah dibentuk sehingga menjadi suatu institusi dalam negara kita.

Dasar itu ialah dasar meletakkan asas politik Malaysia bertunjangkan agama iaitu Islam.[1] Dasar keistimewaan Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak dalam hal-hal tertentu.[2] Dasar Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.[3] Takrif Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan Bahasa Melayu.[4] Menjadikan kesatuan negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai sumber kekuatan dan kompromi bagi menguatkan Malaysia sebagai kuasa pusat.[5]

Selain itu Malaysia juga mempunyai ciri-ciri unik berbanding negara lain di dunia seperti berikut:

  • Malaysia mencapai kemerdekaan melalui perundingan dan kompromi. Tanpa melalui jalan kekerasan atau revolusi.
    • Islam menjadi agama negara yakni kesannya segala undang-undang yang diperkenalkan tidak boleh sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islam kerana undang-undang itu akan void ab initio.
    • Mempunyai sembilan Raja dan Sultan yang masih berfungsi dan bertakhta dan mempunyai kuasa di negeri masing-masing. Kuasa dan tanggungjawab yang utama ialah mempertahankan kesucian Islam.
    • Mempunyai masyarakat yang jamak budaya, agama dan kaum. Kita mempunyai lebih 80 kaum etnik dan ras.
    • Malaysia mengamalkan diskriminasi positif iaitu keistimewaan dalam beberapa hal seperti pendidikan, pemilikan tanah dan jawatan dalam kerajaan kepada Melayu dan peribumi Sarawak dan Sabah iaitu kaum majoriti di Malaysia. Sebaliknya, di negara lain, perlindungan dan keistimewaan hanya diberikan kepada kaum minoriti.
    • Komposisi kaum di negara kita agak seimbang walaupun Melayu dan Peribumi Sabah dan Sarawak membentuk majoriti kaum di Malaysia tetapi kaum- kaum lain juga mempunyai jumlah penduduk yang agak tinggi mencapai 30% keseluruhan penduduk. Untuk itu, Malaysia mengamalkan dasar integrasi kaum bukannya asimilasi kaum seperti negara lain contohnya Indonesia dan Thailand.

Kita harus sedar, keharmonian dan kestabilan negara tidak hadir secara automatik. Keharmonian dan kestabilan negara ialah suatu usaha, proses memerah minda dan strategi oleh para pemimpin terdahulu. Rakyat juga berperanan dengan ilmu yang cukup harus terus mempertahankan tradisi dan institusi yang telah dinyatakan di atas. Tradisi dan insitusi tersebut berjaya mengekalkan negara terus stabil, harmoni dan makmur.

Paling ditakuti sekarang adalah jika ada pemimpin “gila”, dan herot pandangan alamnya yang melupakan tradisi dan insitusi ini. Rakyat pula taksub dengan pemimpin herot ini secara membuta tuli menyokong keperluan membuang terus tradisi ini dengan kepercayaan bahawa kebebasan hak asasi, dan kesamaan ala Barat adalah sesuatu yang sakral. Mempercayai bahawa agama adalah penyebab kepada kemunduran. Manusia mesti dibebaskan dari ikatan agama dan kepercayaan metafizik. Mereka percaya negara yang baik ialah bersifat sekular dan egalitarian. Mempercayai hanya demokrasi adalah amalan terbaik.

Barat begitu terpukau dengan gerakan ‘Pencerahan‘. Revolusi Perancis menjadi takat sejarah yang memukau para pejuang hak asasi manusia ini. Penggerak Revolusi Perancis yang “gila” ini adalah daripada Kelab Jacobin (Jacobins), iaitu sebuah kelab politik yang sangat berpengaruh semasa Revolusi Perancis 1789. Kelab ini menggerakkan revolusi berdarah yang dikenali sebagai “Reign of Teror” di mana 10,000 orang dibicarakan dan dipenggal kepala mereka dengan mesin pancungan (guillotine) kononnya atas pelbagai jenayah politik. Revolusi tidak membawa kebaikan, tetapi revolusi ialah tindakan ekstrem yang membunuh ribuan manusia. Revolusi Perancis menandakan kemerosotan monarki  dan gereja yang berkuasa serta kebangkitan demokrasi dan nasionalisme. Masyarakat Perancis melepaskan diri mereka dari cengkaman gereja. Gerakan ini adalah gerakan  melepaskan diri manusia daripada Hirarki dan Autoriti Kewujudan.[6]

Semasa keadaan kucar-kacir di Perancis pada masa itu, saya memuji seorang ahli parlimen dan ahli falsafah Inggeris Edmund Burke. Beliau menyatakan dengan tegas, sikap jengkelnya terhadap pimpinan Inggeris di Parlimen atau di luar Parlimen dengan sikap mudah terpedaya dengan memberi penghormatan dan kagum dengan Revolusi Perancis. Edmund Burke bangun dan penuh yakin berhujah di Parlimen Inggeris mengatakan Revolusi Perancis sebagai sebuah demokrasi yang tidak rasional, tidak berprinsip, suka mengharam, merampas, menjarah, kejam, menumpah darah dan zalim.[7]

Kenyataan tegas oleh Burke ini penting kerana ada golongan, kumpulan dan pihak menyatakan kekaguman dan ketaksuban mereka kepada Revolusi Perancis hatta di Malaysia ini pun, sebagai kononnya suatu titik sejarah yang membawa kepada kemajuan manusia atas Gerakan Pencerahan. Gerakan pencerahan ini membawa falsafah ‘self-determination’ dan  kebebasan manusia secara mutlak atas slogan yang memukau Liberte, Fraternite, Egalite.

Sesungguhnya, kesan daripada revolusi ini menggugat beberapa tradisi yang baik pada bangsa Inggeris kerana terpengaruh dengan pemikiran ahli-ahli falsafah pencerahan seperti Voltaire dan Rousseau. Menurut Burke, perubahan bukanlah sesuatu yang buruk dan perlu ditolak tetapi perubahan atau reformasi itu mestilah dilakukan tanpa mengabaikan tradisi, institusi dan nilai-nilai baik yang telah terbukti keberkesanannya.

Di Malaysia sekarang, cabaran terbesar sekarang adalah polarisasi politik yang parah. Namun kita jangan pesimis. Kita sedar selepas kejatuhan Barisan Nasional pada tahun 2018, kita masih mencari rentak untuk mengembalikan ideologi politik sederhana dan titik tengah. Untuk itu, pimpinan sekarang memperkenalkan Malaysia Madani. Adakah ideologi Malaysia Madani ini berjaya membawa Malaysia kembali kepada politik sederhana? Hanya sejarah yang akan menentukan.

Malaysia terperangkap dengan polarisasi politik ekstrem kanan (menghukum kafir bagi yang tidak menyokong parti Islam mereka) dan politik ekstrem kiri (mempercayai rakyat perlu diberikan kebebasan mutlak, fungsi kerajaan hanyalah minimum, iaitu perlu menjaga keselamatan dan mengurus ekonomi dan agama itu terpisah daripada politik). Senario ini terjadi apabila timbulnya parti-parti politik yang membawa falsafah politik liberalisme dengan sandaran idea reformasi yang memukau. Natijahnya, ada kelompok yang tidak berpuas hati dan bersikap jumud dan tertutup bagi mengimbangi idea liberalisme yang saling bertentangan. Maka, wujudlah dua pendekatan falsafah politik ekstrem, iaitu liberalisme dan kejumudan.

Untuk itu, kita perlu menggali semula mencari semula falsafah politik yang sederhana. Sederhana adalah kebijaksanaan dan hikmah (wisdom). Sesungguhnya, kita sedar bahawa kesederhanaan ialah kunci kepada keharmonian dan kemajuan Malaysia selama ini. Sederhana menurut Kamus Dewan edisi keempat bermaksud tidak lebih dan tidak kurang, biasa, pertengahan. Kesederhanaan inilah nanti akan membawa kepada keadilan dan adab. Sesuatu yang terlebih atau terkurang tentulah tidak sedap dan tidak kena. Jika masakan terlebih gula tentulah merencat makanan, jika terkurang garam masakan menjadi hambar. Tidak hairanlah al-Quran juga telah mengungkapkan konsep “Ummatan Wasatan” yakni umat pertengahan lagi adil seperti firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَـٰكُمْ أُمَّةًۭ وَسَطًۭا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًۭا ۗ وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِى كُنتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٤٣

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah: 143)

Dari aspek politik, saya ingin menyorot idea-idea penting yang dibawa oleh falsafah politik liberalisme yang boleh menggugat idea dan nilai tradisi yang telah tertancap kukuh dalam falsafah politik negara kita. Idea-idea besar itu adalah kontrak sosial, pemilikan harta, epistemologi, agama dan toleransi perlu dinilai semula dengan kerangka pandangan alam yang benar dan selaras dengan kehendak agama.

Kontrak Sosial

Dalam hal ini manusia sekular dan pasca moden sangat terpengaruh dengan idea John Locke, seorang ahli falsafah pencerahan. Beliau menempelak pandangan Thomas Hobbes juga seorang ahli falsafah Inggeris dalam karyanya yang cukup terkenal The Leviathan yang mengatakan kerajaan yang kuat dan autokratik adalah penting bagi mengawal manusia yang menurut beliau secara fitrahnya jahat, kasar dan kejam.

Locke tidak bersetuju dengan idea Hobbes dan mencadangkan perlunya suatu kontrak sosial –suatu perjanjian antara dua pihak kerajaan dan rakyat– di mana rakyat akan menyerahkan sebahagian sahaja hak-hak mereka kepada kerajaan supaya kerajaan dapat menjaga dan melindungi rakyat supaya berlaku keamanan dalam negara. Ini memerlukan rakyat memberikan legitimasi kepada kerajaan itu untuk melaksanakan kontrak sosial tersebut. Legitimasi itu akan hilang jika kerajaan mula bersikap autokratik sehingga mengawal kebebasan individu dan keupayaan individu membuat keputusan sendiri sehingga memberikan hak kepada rakyat untuk menjatuhkan kerajaan secara revolusi!

Pandangan Locke ini mengelirukan. Tidak ada kebebasan mutlak kerana setiap masyarakat mempunyai tradisi dan nilai yang berbeza. Kebebasan sehingga merosakkan tradisi dan nilai baik adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.  Kerajaan bertanggungjawab untuk masuk campur dan memastikan tradisi yang baik dan terbukti berjaya mengekalkan keharmonian selama ini mesti dikekalkan. Hatta, kerajaan boleh membungkam sesuatu hak jelek yang diperjuangkan seperti perkahwinan sesama jenis dan gaya hidup bebas yang dibawa ke ruangan awam yang membahayakan nyawa, akal, keturunan dan maruah diri.

Pemilikan Harta

Idea pemilikan harta juga perlu difahami dengan benar. Locke menyarankan idea hak pemilikan harta kepada individu secara mutlak. Idea yang mengatakan manusia mempunyai hak-hak mutlak (inalienable rights) adalah tidak tepat dan tidak selari dengan ajaran agama. Perlu ada keseimbangan, iaitu hak hanya akan diberikan jika seseorang manusia itu seorang yang bertanggungjawab. Misalnya, hak pemilikan harta seperti tanah bukanlah sesuatu yang mutlak. Jika semua tanah hak milik mutlak individu, maka apa hak kerajaan untuk memastikan tanah itu juga dapat diakses oleh masyarakat awam misalnya untuk pembinaan dan penyediaan kemudahan awam seperti jalan raya, saliran dan sebagainya. Jika semuanya ialah hak mutlak individu atas alasan ianya diusahakan oleh individu tersebut maka ia berhak ke atasnya; kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk menegakkan keadilan dalam sesebuah negara. Masyarakat miskin yang tidak mampu memilik tanah misalnya akan sentiasa dikesampingkan dan kerajaan tidak akan mampu menyediakan kemudahan asas kepada mereka. Kerajaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil mana-mana tanah individu melalui undang-undang untuk kepentingan awam dan keselamatan awam.Maka hak individu atas harta mereka tidaklah mutlak.[8]

Epistemelogi

Selain itu, persoalan epistemologi juga perlu dihadam dan difahami dengan benar supaya tidak dikelirukan dengan epistemologi Barat melalui sains moden yang percaya kebenaran itu hanya boleh didapati melalui empirikal sahaja. Falsafah moden Barat masih terkial-kial dengan persoalan epistemologi, bagaimanakah manusia mendapat ilmu kebenaran yang hakiki dan benar sama ada melalui akal atau pancaindera? Pergulatan antara kelompok ini tidak berkesudahan sehingga melahirkan dua kem ahli falsafah Barat moden yang cenderung kepada akal/rasional dan kem yang cenderung kepada pancaindera sebagai sumber ilmu.

Ahli falsafah seperti David Hume, George Berkeley, Thomas Hobbes, John Locke dan John Stuart Mill percaya  sumber ilmu yang hakiki dan benar adalah melalui pancaindera manusia yang lima sahaja. Ahli falsafah seperti Descartes, Leibniz dan Spinoza mempercayai ilmu yang hakiki dan benar itu hanya  dicapai melalui akal.

Kelihatannya Barat mengalami masalah untuk mengharmonikan fungsi akal dan pancaindera dalam hal ini. Adalah sesuatu yang mengelirukan apabila kita berpegang kepada pendirian bahawa sumber pengalaman deria ialah satu-satunya sumber pengetahuan manusia. Idea John Locke yang sekarang ini dipeluk oleh ramai manusia moden percaya kepada konsep Tabula Rasa (Blank Slate). Pendukung idea John Locke percaya bahawa semua manusia dilahirkan dengan fikiran yang tandus, kosong, mudah dibentuk; setiap aspek watak seseorang merupakan sesuatu yang diperhatikan, dirasakan, dan dipelajari melalui deria. Secara falsafah, ia membenarkan konsep kehendak bebas. Ramai pemikir kemudiannya akan mentafsir idea itu ke dalam karya mereka sendiri —sebagai contoh Sigmund Freud, sangat percaya pada Tabula Rasa dengan memetik kepentingan tingkah laku yang diperhatikan daripada dinamik ibu bapa kita.

Dalam tradisi Islam pertembungan akal dan pancaindera ini telah diselesaikan. Akal mempunyai fungsinya dan pancaidera juga turut mempunyai fungsi dalam menanggapi ilmu. Ini telah dinyatakan secara tuntas dalam ‘Aqāid al-Nasafī karya Taftazani yang menjadi sumber rujukan aqidah Islam yang utama menyatakan segala perkara yang menjadikan ilmu bagi makhluk itu pada empat perkara iaitu pancaindera yang lima, khabar sadiq, akal dan ilham. Justeru, jelas dalam tradisi Islam sumber ilmu berdasarkan kepada empat sumber tadi terutamanya dalam menanggapi hal-hal metafizik yang memerlukan akal dan ilham di mana pancaidera tidak mampu menanggapinya.

Agama

Terkait juga mengenai faham kita terhadap agama, kelihatannya manusia moden terutama yang terpengaruh dengan falsafah moden Barat percaya seseorang manusia mempunyai hak untuk mentadbir diri mereka dalam apa jua cara yang mereka fikirkan sesuai. Tidak ada suatu keterikatan metafizik melalui agama untuk mengatur dan menentukan bagaimana seseorang manusia harus hidup. Sudah tentu pandangan ini salah kerana manusia terikat dengan etika dan nilai yang mutlak yang telah ditetapkan oleh Tuhan melalui agama. Pembebasan manusia daripada semua ikatan agama inilah yang dinamakan sekularisme. Sekularisme sebagai suatu bentuk gerakan falsafah ini menjadi cabaran terbesar untuk ditangkis sekarang.[9]

Memahami agama bermakna manusia faham dan mengiktiraf kehidupannya tidak terlepas dari kuasa metafizik iaitu manusia ini terikat dengan peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Semua yang wujud terikat dengan hirarki dan autoriti. Wujud alam ini melalui martabat-martabat kewujudan bermula dengan wujud pertama Nur Muhammad sebagai ta’ayun, tanazzul atau tajalli pertama penciptaan.

Memahami kedudukan A’yān Thābitah dalam martabat kewujudan sebagai potensi kewujudan yang terkandung dalam ilmu Allah . Inilah yang membedakan pandangan alam Islam dengan ahli falsafah moden terutamanya John Locke dan pengikutnya yang telah memutuskan hierarki wujud ini daripada alam ghaib dan hanya menyatakan kewujudan yang sebenar hanyalah alam empirikal yang boleh dilihat dan dirasa oleh pancaindera.

Faham metafizik inilah antara khazanah yang sudah hilang daripada tradisi kita. Hal ini terjadi akibat daripada ketaasuban melampau terhadap sains moden yang hanya bersandarkan pancaindera yang sudah tentu terbatas kuasa dan kemampuan capaiannya. Prof. Dr. Muhammad Zainy Uthman dalam bukunya Prologue to al-Attas’ Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri menyimpulkan dengan berkesan sekali akan apa itu faham metafizik. Faham metafizik ini ialah pernyataan dan pengiktirafan terhadap Wujud Hakiki (Wajibul Wujud) Yang Esa dan tidak berbilang-bilang mahupun ada duanya. Kefahaman dan pengiktirafan bahawa wujud itumempunyai tiga kategori, yakni Wujud Hakiki, wujud yang berkehendak dan tidak wujud. Wujud Tuhan ialah wujud yang hakiki dan tidak berkehendak akan sesuatu. Wujud makhluk ialah wujud yang berkehendak. Wujud makhluk ialah hasil manifestasi Wujud Hakiki yang memberikan pelbagai bentuk dan bilangan (ta’ayyun dan taqayyud) yang membentuk pelbagai makhluk dalam hal dan daerah kewujudan tertentu.

Sesungguhnya idea Locke yang menjadi sandaran golongan liberalisme telah memutuskan manusia daripada hakikat hirarki kewujudan bermula dengan Wajibul Wujud yakni Tuhan sehingga mengatakan manusia itu wujud sebagai Tabular Rasa yang mempunyai kebebasan hakiki untuk membentuk pandangan alam sendiri berdasarkan pengalaman sendiri. Inilah pertentangan idea Liberalisme dan Islam yang juga mempengaruhi falsafah sains moden, politik dan ekonomi. Inilah yang menyebabkan kekeliruan kewujudan yang membawa kepada depresi dan kekacauan jiwa manusia moden masani. Pandangan Locke ini melihat seolah-olah manusia ini ditinggalkan di dunia ini keseorangan terputus daripada perjanjiannya dengan al-Haq, sedangkan kesemua zuriat Adam ketika peristiwa perjanjian (Mīthāq) telah bersaksi akan perhambaan mereka itu sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran [Surah al-A’raf: 172].

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ        ١٧٢

Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”

Toleransi

Selain itu idea Toleransi juga perlu difahamkan semula supaya pandangan alam yang sebenar dapat difahami terutama dalam konteks Malaysia yang jamak kaum, budaya dan agama. Toleransi bukanlah bermaksud menerima sesuatu itu sebagai wujud di sekeliling kita walaupun ianya adalah salah dari segi etika dan moral. Kita tidak sepatutnya bertoleransi pada sesuatu yang salah dan batil. Ini tidak bermaksud kita berlaku zalim dan menekan tetapi sesuatu harus dilakukan sebagai usaha memperbetulkan keadaan ke arah kebaikan. Contohnya, ada manusia yang cenderung kepada kehidupan homoseksual atas dasar kebebasan orientasi seksual. Tetapi adakah kita perlu bertoleransi dengannya mengatakan gaya hidup itu benar dan betul? Sudah tentu tidak! Kita masih berpendirian bahawa gaya hidup itu salah dan menyalahi peraturan agama dan undang-undang alam (natural law) Cuma kita tidak menekan dan berlaku zalim kepada mereka.

Persoalan idea-idea kontrak sosial, pemilikan harta, epistemologi, agama dan toleransi adalah sangat penting untuk difahami dengan tuntas menurut pandangan alam yang benar. Hal ini dikatakan demikian kerana pandangan alam yang salah mengenai idea-idea tersebut sangat mempengaruhi falsafah politik Malaysia kerana melalui kefahaman idea-idea tersebut pelbagai polisi dan dasar akan dibentuk

Sebagai kesimpulan, Malaysia perlu mempunyai suatu falsafah politik yang jelas dan tetap. Falsafah politik yang jelas dan tetap penting supaya dasar dan polisi yang dibentuk memenuhi tuntutan dunia dan akhirat. Falsafah politik yang saya maksudkan itu ialah konservatisme, suatu falsafah politik yang mementingkan pemeliharaan tradisi, adat dan budaya setempat yang terbukti baik dan menyatupadukan rakyat. Konservatisme tidak menolak idea perubahan, islah atau reformasi sebaliknya cermat dalam menerima sebarang perubahan.

Seterusnya falsafah Konservatif ini diaplikasikan dalam manhaj Malaysia yang diperikan sebagai Malaysia Saksama. Malaysia Saksama membawa nilai Adil, Adab dan Cermat. Malaysia Saksama ini menekankan faham metafizik bahawa manusia ini terikat dengan peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Semua yang wujud terikat dengan hirarki dan autoriti. Malaysia Saksama menolak sekularisme sebagai suatu gerakan falsafah.

Moga renungan dan pandangan yang dituangkan dalam makalah ini memberi manfaat dan cetusan untuk diperkembangkan lagi demi memastikan Malaysia terus makmur dan harmoni. Membina itu payah, meruntuh itu mudah.


[1] Dasar ini telah diperkanunkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Diinstitusikan melalui JAKIM dan Jabatan Mufti setiap negeri.

[2] Dasar ini telah diperkanunkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Diinstitusikan melalui MARA.

[3] Dasar ini telah diperkanunkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Diinstitusikan melalui DBP.

[4] Takrif ini telah diperkanunkan dalam Perkara 160(2) Perlembgaan Persekutuan. Ini bermakna kaum-kaum lain boleh menjadi Melayu jika mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan dan mendapat keistimewaan seperti yang termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

[5] Tradisi ini diletakkan sebagai cogankata dalam Jata Negara – “Bersekutu Bertambah Mutu“.

[6] Suatu falsafah yang membebaskan manusia daripada hirarki metafizik di mana semua kewujudan bermula dari Al-Haq dan dimanifestasi bentuk kewujudan dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain sehinggalah kewujudan yang paling rendah iaitu kewujudan di alam dunia. Dengan menolak hirarki metafizik ini maka tiada lagi moral dan etika yang objektif. Untuk itu, negaralah yang menentukan ketentuan hidup yang pragmatik dengan mengutamakan hak asasi daripada nilai kebaikan. Moral dan etika ditentukan oleh individu itu sendiri dan bersifat subjektif.

[7] Burke merakamkan semua pandangannya ini dalam buku beliau, Reflections on the Revolution in France. Buku ini menjadi magnum opus kepada Burke apabila beliau telah meramalkan kegagalan Revolusi Perancis dalam melindungi hak rakyat sebaliknya akan kembali kepada pemerintahan diktator dengan Napoleon Bonarparte menjadi Maharaja Perancis pada tahun 1804.

[8] Artikel 29(2) Universal Declaration of Human Rights membenarkan hak dan kebebasan seseorang dihadkan melalui undang-undang bagi menghormati hak dan kebebasan pihak lain dan bagi memenuhi tuntutan moral, keselamatan awam dan kebajikan umum dalam sebuah masyarakat yang demokratik.

[9] Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas mendefinisikan Sekularisme dalam magnum opusnya Islam and Secularism sebagai Disenchantment of Nature, Desacralisation of Politics and Deconsecration of Values.