Oleh : Mohd Jamizal Zainol, Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)
“Falsafah penting sebagai sebagai sebuah kerajaan dalam membelanjakan hasilnya sudah tentu memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat atau lebihan pendapatan bagi perbelanjaan seharian. Ini mengingatkan saya kepada maksud ‘ekonomi’ itu sendiri yang berasal dari perkataan Greek Oikonomos yang bermaksud pengurusan isi rumah. Apa sahaja dasar ekonomi yang dikemukakan, raison d’ etre suatu belanjawan sesebuah negara itu ialah meningkatkan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat.
Perlu diingat apabila kita bercakap perihal pengurusan isi rumah, kos sara hidup adalah elemen terpenting. Ditegaskan bahawa menjaga kos sara hidup seiisi rumah itu adalah tanggungjawab kerajaan yang mempunyai kuasa dalam menentukan dasar dan polisi ekonomi. Tiada gunanya negara mempunyai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi tetapi ekonomi isi rumah terhimpit! Keluarga yang terdiri daripada ibu , bapa dan anak-anak setiap bulan tidak ada lebihan untuk tabungan malah yang lebih parah sentiasa defisit sehingga terpaksa berhutang.
Apa yang diperlukan oleh sebuah isi rumah? Sudah tentu yang paling utama ialah keperluan makanan. Rakyat mahukan bekalan makanan sentiasa tersedia dengan harga yang berpatutan. Kedua, rakyat memerlukan pendidikan berkualiti, justeru Kerajaan bertanggungjawab memberikan akses pendidikan asas secara percuma kepada rakyat. Ketiga, apabila sudah ada pendidikan, rakyat mahukan pula pekerjaan dengan gaji yang bermaruah. Keempat, apabila sudah mempunyai pekerjaan rakyat perlu pula tempat tinggal yang selesa. Inilah sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan. Jika ini tidak dipenuhi maka kerajaan itu adalah kerajaan yang gagal.”