Oleh : Mohd Jamizal Zainol, Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)
Saban tahun Menteri Kewangan akan membentangkan belanjawan negara dan setiap tahun juga rakyat akan menunggu apa imbuhan untuk rakyat akan diumumkan oleh Menteri Kewangan. Walhal, belanjawan itu bermaksud pembentangan bagaimana kerajaan bercadang untuk membelanjakan anggaran hasil pada tahun hadapan. Imbuhan, bantuan tunai terus mahupun bonus kepada pegawai awam hanyalah antara salah satu cara atau strategi kerajaan untuk membelanjakan hasilnya. Banyak lagi perkara lain yang perlu diteliti bagi melihat samaada sesuatu belanjawan itu merupakan belanjawan yang efektif dan objektif.
Falsafah penting sebagai sebagai sebuah kerajaan dalam membelanjakan hasilnya sudah tentu memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat atau lebihan pendapatan bagi perbelanjaan seharian. Ini mengingatkan saya kepada maksud ‘ekonomi’ itu sendiri yang berasal dari perkataan Greek Oikonomos yang bermaksud pengurusan isi rumah. Apa sahaja dasar ekonomi yang dikemukakan, raison d’ etre suatu belanjawan sesebuah negara itu ialah meningkatkan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat.
Perlu diingat apabila kita bercakap perihal pengurusan isi rumah, kos sara hidup adalah elemen terpenting. Ditegaskan bahawa menjaga kos sara hidup seiisi rumah itu adalah tanggungjawab kerajaan yang mempunyai kuasa dalam menentukan dasar dan polisi ekonomi. Tiada gunanya negara mempunyai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi tetapi ekonomi isi rumah terhimpit! Keluarga yang terdiri daripada ibu , bapa dan anak-anak setiap bulan tidak ada lebihan untuk tabungan malah yang lebih parah sentiasa defisit sehingga terpaksa berhutang.
Apa yang diperlukan oleh sebuah isi rumah? Sudah tentu yang paling utama ialah keperluan makanan. Rakyat mahukan bekalan makanan sentiasa tersedia dengan harga yang berpatutan. Kedua, rakyat memerlukan pendidikan berkualiti, justeru Kerajaan bertanggungjawab memberikan akses pendidikan asas secara percuma kepada rakyat. Ketiga, apabila sudah ada pendidikan, rakyat mahukan pula pekerjaan dengan gaji yang bermaruah. Keempat, apabila sudah mempunyai pekerjaan rakyat perlu pula tempat tinggal yang selesa. Inilah sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan. Jika ini tidak dipenuhi maka kerajaan itu adalah kerajaan yang gagal.
Justeru, jika dilihat adakah Belanjawan 2024 memenuhi falsafah yang saya nyatakan di atas? Jelas sekali fokus utama Belanjawan 2024 kali ini adalah untuk meningkatkan hasil negara melalui pelaksanaan subsidi bersasar. Peningkatan hasil yang konsisten dari tahun ke tahun meningkatkan keupayaan kerajaan untuk menterjemahkannya melalui peningkatan upah dan gaji pekerja.
Ini juga terbukti apabila hasil negara yang diunjurkan asalnya pada tahun 2023- RM291.5 billion telah diunjurkan semula kepada RM303.2 billion. Ini bermakna ada peningkatan hasil yang ketara. Ini suatu peningkatan yang baik. Usaha kerajaan seterusnya ialah mengurangkan subsidi. Ini menjadi langkah yang sangat penting dalam belanjawan kali ini kerana dijangkakan subsidi akan membengkak sehingga mencecah RM81 billion! Menteri Kewangan juga berjanji apabila subsidi dikurangkan kepada golongan maha kaya dan mewah maka lebihan hasil nanti akan dikembalikan kepada rakyat melalui Bantuan Tunai Rahmah. Namun demikian, kita masih menunggu kaedah-kaedah yang dilaksanakan bagi menjayakan subsidi bersasar ini. Diharapkan kaedah yang dikemukakan nanti objektif dan realistik.
Untuk tahun 2024 anggaran hasil negara ialah RM307.6 billion bermakna ada peningkatan daripada RM303.2 billion pada tahun 2023. Dengan anggaran hasil RM307.6 billion ini, belanja mengurus pada tahun 2024 ialah RM303.8 billion dan RM90 billion untuk belanja pembangunan berbanding 99 billion pada tahun 2023. Ini bermaksud belanja pembangunan menurun sebanyak 9 billion walaupun dianggarkan hasil negara akan meningkat pada tahun 2024! Dalam mana-mana belanjawan, fokus utama ialah kepada belanja pembangunan kerana belanja pembangunan ini mempunyai impak secara langsung kepada rakyat melalui peningkatan aktiviti-aktiviti ekonomi dalam negara kita. Apabila aktiviti ekonomi cergas rakyat yang berniaga akan mendapat tempiasnya melalui kontrak-kontrak kerajaan. Kerajaan tidak sepatutnya mengurangkan perbelanjaan pembangunan terutamanya dalam ekonomi yang gawat kerana pengurangan perbelanjaan pembangunan kerajaan akan memberikan kesan kepada syarikat-syarikat yang mengharapkan kontrak-kontrak kerajaan. Apabila kontrak kerajaan berkurangan maka hasil syarikat akan berkurangan. Jika hasil syarikat berkurangan maka kemungkinan besar pekerja syarikat terpaksa dikurangkan.
Kita memahami pengurangan belanja pembangunan adalah bagi mengurangkan defisit negara, tetapi dalam keadaan ekonomi yang getir sekarang, kerajaan perlu terus meningkatkan perbelanjaan bukan untuk berjimat. Berjimat apabila kita sampai kepada pusingan ekonomi yang baik nanti bukan pada waktu sekarang di mana banyak pengeluar dan peniaga masih berusaha untuk bangkit daripada kesan pandemik yang lalu.
Kendatipun begitu, ada beberapa inisiatif yang menarik perhatian saya telah dikemukakan bagi melonjakkan perniagaan ‘start-up’ dengan kerajaan menyediakan suatu data tingkap tunggal yang menghimpunkan syarikat pemula di negara kita bagi pemantauan kerajaan untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan. Inisiatif ini akan mengoptimumkan dana sebanyak RM 200 juta di bawah pelbagai agensi pembiayaan dan modal. Ini sudah tentu mengembirakan ramai anak muda yang kebanyakkannya sekarang terlibat dalam syarikat pemula (start-up).
Antara inisiatif lain yang mempunyai kesan terus kepada ekonomi rakyat ialah usaha untuk terus memperkasakan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). PMKS ialah suatu segmen ekonomi yang banyak melibatkan Bumiputera. Pada tahun hadapan kerajaan menyediakan RM44 billion sebagai kemudahan pinjaman perniagaan untuk direbut dan disambut oleh usahawan PMKS. Suatu jumlah yang agak besar membuktikan kerajaan Madani sentiasa cakna kepada industri PMKS terutama perniagaan yang melibatkan Bumiputera. Begitu juga bantuan kepada pesawah dan nelayan tetap diteruskan dengan meningkatkan harga lantai padi
Kerajaan Madani juga terus komited meningkat ekonomi rakyat dengan membelanjakan RM110 juta untuk dibaik pulih dan dinaik taraf. RM10 juta dibelanjakan untuk meningkatkan taraf warung-warung dan gerai-gerai. RM50 juta dibelanjakan untuk menyediakan 4000 unit ruang niaga lagi di bawah seluruh kawasan PBT. Inisiatif ini mempunyai impak terus bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Saya juga tertarik dengan strategi Menteri Kewangan memberikan insentif hebat kepada aktiviti hiburan seperti pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas artis tempatan dan pengurangan 5% duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator. Dalam keadaan rakyat yang berduka dengan keadaan ekonomi yang semakin suram sekarang, diharapkan rakyat dapat berhibur dan melupakan kedukaan seharian sebentar. Ini juga dilakukan oleh kerajaan Rome dahulu dengan menyediakan Colosseum dan pelbagai hiburan lain bagi melupakan keadaan ekonomi yang perit ketika itu. Strategi panem et circenses yang bermaksud roti dan hiburan adalah strategi ampuh yang digunakan oleh Rome bagi menghentikan pemberontakan rakyat terhadap pemerintah Rome.
Bagi meningkatkan lagi kualiti pembentangan belanjawan, saya mencadangkan molek sekiranya pada belanjawan tahun hadapan Menteri Kewangan boleh membentangkan dalam Parlimen adakah anggaran hasil yang digunakan untuk membentangkan Belanjawan 2024 ini tepat dan realistik atau tersasar? Jika tersasar berapa peratuskan ianya tersasar? Dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan ianya tersasar. Ini penting supaya rakyat dapat menilai adakah anggaran hasil yang dibuat itu realistik atau hanya melepaskan batuk ditangga. Dengan cara ini rakyat dapat menilai kemampuan kerajaan membuat suatu anggaran dan sasaran suatu kemahiran penting dalam membuat perencanan penting seperti belanjawan ini.Berdasarkan kepada beberapa fakta yang saya utarakan di atas, terpulang kepada kita untuk menilai sama ada Belanjawan 2024 ini adalah belanjawan yang efektif dan objektif atau tidak. Moga Malaysia terus cekal dan tekal untuk menghadapi dunia yang galau tahun-tahun