Artikel Kongres Bumiputra

PEMBANGUNAN EKONOMI BUMIPUTERA TUNJANG KESTABILAN DAN KEHARMONIAN NEGARA

Oleh : Mohd Jamizal bin Zainol, Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia

Paling menarik perhatian kita semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 pada 11 September 2023 yang lalu oleh Perdana Menteri ialah  kesediaan Perdana Menteri untuk memperkasakan agenda ekonomi Bumiputra. Ini dimulakan dengan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputra yang dijangka akan diadakan pada suku pertama tahun 2024 yang menghimpunkan ahli ekonomi, bijak pandai dan ahli fikir untuk membentuk suatu dasar ekonomi Bumiputra yang lebih mampan mengambil kira keadaan ekonomi semasa, menyeluruh dan efektif.  Walaupun sedikit terlewat pengumuman ini, tetapi kesediaan Perdana Menteri untuk mengangkat semula agenda ekonomi Bumiputra yang lebih segar sudah tentu melegakan majoriti rakyat Malaysia.

Pada hemat saya, formula kestabilan dan keharmonian negara yang paling awla dan utama ialah keupayaan parti kerajaan yang memerintah untuk merangka dasar ekonomi Bumiputra yang mampan bagi pembangunan kaum majoriti di Malaysia. Datanglah apa saja slogan Agenda Ekonomi Malaysia, Wawasan Kemakmuran Bersama, Rancangan Malaysia, Ekonomi Madani hatta Wawasan 2020 sekalipun tanpa agenda yang kukuh dan tepat mengenai ekonomi Bumiputra maka slogan itu tidak bermakna langsung di Malaysia! Prinsip utamanya ialah agenda ekonomi Bumiputra sangat penting di Malaysia kerana kegembiraan kaum majoriti Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak melalui nikmat pengagihan kek ekonomi yang adil adalah asbab kepada keharmonian dan kestabilan Malaysia. Pembangunan ekonomi Bumiputra melalui diskriminasi positif atau dasar afirmatif ini adalah sine qua non kepada kemerdekaan negara. Kemerdekaan negara tercapai melalui hasil rundingan dengan Kerajaan Inggeris melalui suatu sosial kontrak yang mana orang Melayu bersetuju memberikan kerakyatan automatik kepada kaum Cina dan India (jus soli) yang dibawa oleh Inggeris untuk kegiatan ekonomi di Tanah Melayu dengan syarat keistimewaan orang Melayu dijamin dalam hal pemberian kuota dalam perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, perdagangan dan  perniagaan.

Ramai yang terkeliru mengatakan keistimewaan yang diberikan hanyalah pada orang Melayu walhal persepsi itu adalah salah! Apabila kita bercakap mengenai Bumiputra ianya bermaksud Melayu dan pribumi di Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini, bagi mengelakkan kekeliruan panjang maka kami mencadangkan Kongres itu nanti dijenamakan semula sebagai “Kongres Pembangunan Ekonomi Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak 2024”. Penjenamaan ini penting kerana ianya berkait dengan falsafah, prinsip dan keseluruhan pandangan alam (worldview) mengenai keistimewaan Bumiputra yang akan menentukan hala tuju dan dan hasil kongres ini kelak.

            Kami percaya bagi mencapai resolusi kongres yang meyakinkan dan mempunyai dampak yang dihasratkan, kami mencadangkan beberapa tindakan kritikal mesti dilaksanakan segera. Pertamanya, Kerajaan mestilah membentuk suatu undang-undang  yang tidak membenarkan sama sekali apa jua jenis bentuk pelakuan “Ali Baba” ke atas segala kontrak dan perniagaan yang telah dianugerahkan kepada mana-mana Bumiputera; secara individu mahupun dalam entiti atau organisasi perniagaan.  Pelakuan “Ali Baba” sesuatu kontrak atau perniagaan kepada pihak lain dikenalpasti sebagai salah satu faktor yang merencat pegangan ekuiti dan pertumbuhan ekonomi Bumiputera. Penerima asal mendapat keuntungan kilat  atau “atas angin” hasil pelakuan tidak bermaruah “Ali Baba”. Bumiputera secara keseluruhannya langsung tidak menerima apa pun faedah terutama dalam meningkatkan kemahiran mereka dalam perniagaan dan perdagangan.

Bagi perniagaan Bumiputra yang masih baru bertatih, Kerajaan boleh mengenakan dan menguatkuasakan kuantum tertentu dalam pelaksanaan kontrak atau perniagaan oleh sesuatu entiti atau organisasi perniagaan sebelum entiti tersebut membuka ruang kepada entiti lain bagi melaksanakan kontraknya. Sebagai contoh, sesuatu kontrak itu dilaksanakan sebanyak 30% oleh penerima asal kontrak manakala baki 70% lagi dilaksanakan oleh beberapa entiti lain secara proksi. Terdapat banyak insiden sebelum ini yang menunjukkan penerima kontrak atau perniagaan daripada kontrak Kerajaan langsung tidak memiliki kepakaran hasil penerimaan kontrak atau perniagaan kerana lebih daripada 90% pelaksanaannya dibuat oleh pihak lain.

Yang kedua, semua Agensi Mandat Bumiputera, agensi penyaluran bantuan termasuk badan-badan Islam di negeri-negeri, institusi perbankan, dan entiti lain yang berkenaan mestilah berpadu dan berkongsi data penerima geran dan bantuan yang ditawarkan dalam single gateway portal agar kegiatan keji “pengemis geran Kerajaan” bergentayangan daripada satu geran atau bantuan ke satu geran yang lain dapat disisihkan.  Pengemis-pengemis geran dan bantuan ini bermaharajalela dalam mengeksploitasi dan memanipulasi sistem penganugerahan geran dan bantuan ini untuk kepentingan entiti mereka sendiri lalu membataskan peluang serta ruang buat pengusaha perniagaan yang serius dan berjiwa kental untuk menggiatkan perusahaan mereka sendiri.

Dalam aspek ini juga institusi perbankan mestilah berjiwa besar dalam menyahut Agenda Pembangunan Ekonomi Bumiputera ini dalam memberikan kemudahan kewangan kepada perusahaan Bumiputera. Institusi perbankan mesti sedar pada hakikat yang mana seandainya Bumiputera sebagai kaum majoriti di Malaysia ini dapat menikmati hidup yang senang maka secara keseluruhannya kaum-kaum lain juga dapat menikmati nikmat kemakmuran ekonomi Bumiputra ini secara bersama. Untuk itu sejak tahun 2022, inisiatif Agrobank dalam menyambut agenda ini bersama-sama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) mestilah dipuji dan dicontohi oleh entiti perbankan yang lain. Bank-bank yang lain mestilah mencontohi inisiatif yang diambil oleh Agrobank ini. Bank-Bank yang terlibat dalam inisiatif ini perlu diberikan insentif oleh Kerajaan.

Justeru, dua langkah yang kami nyatakan di atas merupakan pra-syarat utama sebelum apa-apa resolusi Kongres ini dicapai melalui pelan tindakan yang akan dirangka kelak. Sudah tentu ianya menjadi “peluru perak”dalam mencegah sebarang penyalahgunaan oleh mereka yang rakus dan tamak dalam memanipulasi lantas membolot keistimewaan Bumiputera ini.Bukan tiada perusahaan Bumiputera yang punya rekod gemilang yang sedang giat mencipta nama di peringkat global. Usaha-usaha scouting, search and identify mestilah dilaksanakan dengan penuh itqan oleh agensi-agensi Kerajaan khususnya MATRADE agar perusahaan-perusahaan Bumiputera ini dapat diupayakan dan diperkasakan sehingga peringkat dunia. Ini penting bukan sahaja kerana ianya akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK malah ianya akan membantu pertumbuhan perusahaan-perusahaan start-ups atau pemula yang lain. Kitaran ini mestilah boleh diulang laku agar pertumbuhan perusahaan-perusahaan Bumiputera dapat menyubur dan berkembang. Memetik kata-kata Perdana Menteri dalam ucapannya tempohari “Condong ditumpil, lemah dianduh”.

Kebelakangan ini kami juga mendapati kompetensi dan keupayaan agensi atau badan berkanun negara ini yang rata-rata warga kerjanya ialah Bumiputera dilihat semakin lemah dan tidak berdaya harap. Antara faktor yang menjadi punca situasi ini ialah amalan kronisme yang berleluasa khususnya dalam pelantikan warga kerja ke dalam sesuatu agensi atau badan berkanun ini. Amalan kronisme yang melantik saudara mara dan kenalan menyebabkan organisasi tidak mendapat bakatyang sepatutnya dan sepadan. Amalan “kuasa melantik sendiri” oleh agensi atau badan berkanun ini mestilah digantikan kepada suatu jawatankuasa melantik yang berkecuali seperti mana yang diamalkan oleh Suruhanjaya-Suruhanjaya Persekutuan yang ada. Menambah derita keupayaan organisasi lagi apabila yang dilantik bukan sahaja kroni malah tidak miliki sikap, kemahiran dan keupayaan dengan kriteria yang ditetapkan.Proses pelantikan warga kerja ke dalam agensi atau badan berkanun mandat Bumiputra mestilah dilihat semula, ditambah baik, dan diperkasakan. Ini penting supaya agensi atau badan berkanun ini dilihat sebagai jentera yang efektif dalam benar-benar membangunkan ekonomi Bumiputra bukannya membangunkan kroni mereka.

Diharapkan selepas Kongres ini, objektif Kerajaan untuk memastikan ekuiti Bumiputra sentiasa berada di tahap 30% dapat dicapai. Sehingga ke tarikh kongres tersebut kami mengucapkan terima kasih Perdana Menteri!