Oleh : Mohd Jamizal bin Zainol
Pengerusi, Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)
Perang Iran, Amerika Syarikat dan Israel akan merubah dinamika geopolitik dunia selepas ini. Kesannya yang nyata ialah runtuhnya diplomasi secara multilateral dengan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyelesaikan konflik dunia mutakhir ini.
Selepas peperangan dunia kedua, dunia berhimpun dan bersetuju untuk menubuhkan PBB sebagai wahana perbincangan secara diplomasi antara negara-negara bagi mengelakkan peperangan. Begitu juga undang-undang antarabangsa dinobatkan bagi memastikan dunia aman dan dalam keadaan yang stabil. Semua negara bersetuju dan menyerahkan sebahagian kedaulatan negara untuk patuh dan taat dengan undang-undang antarabangsa ini. Pasca perang Iran menunjukkan bahawa PBB sebagai badan multilateral telah runtuh dan tidak lagi berfungsi. Negara besar dan kuat sekarang bebas melakukan apa sahaja dengan menindas negara yang lemah.
Perang Iran ini tidak sepatutnya berlaku jika PBB masih berfungsi. Maka apakah nasib negara-negara kecil seperti Malaysia jika undang-undang antarabangsa sudah dibakulsampahkan. Keadaan dunia tidak menentu dan tidak ada suatu undang-undang yang boleh dipercayai lagi. Untuk itu negara-negara kecil dan yang mempunyai falsafah yang sama perlu bersatu dan membentuk plurilateral yakni hubungan lateral bersama dengan beberapa buah negara yang berkongsi pandangan dan falsafah geopolitik yang sama.
Adakah Malaysia masih ada kekuatan diplomasi untuk memulakan hubungan plurilateral ini? Jawapanya ya! Jika Malaysia memugar semula gagasan Melayu Raya bersama Indonesia, Brunei dan Filipina. Kita mengetahui bahawa kelebihan Iran yang masih bertahan dalam perang ini ialah kerana penguasaan Iran terhadap Selat Hormuz di mana 20% eksport minyak dan gas melalui selat ini. Penutupan Selat Hormuz bukan sahaja menangkap “tengkuk” Amerika Syarikat sehingga lemas malah turut menyesakkan ekonomi dunia. Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina mempunyai kelebihan geografi kerana Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi nadi perdagangan ke Asia Timur terutama ke China dan Jepun. Malaysia perlu menggunakan kelebihan geografi ini bagi menahan Malaysia dari dibuli dan dilanyak oleh negara-negara besar yang sekarang bertindak agresif.
Dianggar purata 220 kapal perdagangan sehari melalui Selat Melaka iaitu membentuk 25% perdagangan dunia melaui selat ini. Ini tidak bermakna Malaysia tidak lagi mempercayai sistem multilateralisme seperti PBB dan WTO. Malaysia harus terus mendokong pendekatan multilateral dalam menyelesaikan pelbagai isu geopolitik namun tidak menafikan usaha Malaysia untuk menyediakan satu alternatif lain seperti gagasan Melayu Raya ini.
Saya yakin gagasan Melayu Raya ini ialah penyelesaian ampuh bagi memastikan Malaysia terus bersifat neutral dan menjadi negara yang berdaulat. Melayu Raya mungkin disalahertikan sebagai cuba mengenang nostalgia lama yang telah gagal atau melihat sebagai usaha dan cita-cita menyatukan wilayah yang sudah tidak lagi relevan. Sebaliknya, kita perlu meninjau gagasan ini dengan lebih mendalam dan bijaksana, Melayu Raya jangan dilihat sebagai projek geopolitik sempit tetapi sebagai projek peradaban. Melayu Raya ialah usaha menghidupkan kembali kesatuan makna, bahasa dan adab dalan dunia Melayu yang telah lama terpecah dan terpisah. Melayu Raya menyatukan masharakat di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina melalui Bahasa Melayu kembali sebagai Lingua Franca. Islam sebagai asas ontologi dan etika. Adat Melayu sebagai manifestasi kehidupan bertertib. Inilah definisi Melayu Raya!
Tidak dinafikan Alam Melayu tidak pernah benar-benar bersatu sebagai sebuah negara bangsa, namun ia pernah wujud sebagai satu kesatuan peradaban. Dari Srivijaya hingga Melaka, dari Aceh hingga Patani hingga ke Ligor, dari Mindanao ke Sulu dan Palawan. Melayu Raya tidak dibina melalui penaklukan mana-mana negara bangsa yang telah sedia ada. Melayu Raya dibina melalui kesatuan peradaban misalnya berkongsi tokoh-tokoh intelektual secara bersama. Nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al- Raniri dan Abd al-Rauf Singkel membentuk jaringan intelektual yang melangkau sempadan geografi. Begitu juga tokoh seperi Jose Rizal dan HAMKA yang ketokohan mereka dikongsi secara bersama oleh Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina.
Sebenarnya usaha ini telah dilakukan oleh pemimpin nasional Malaysia, Indonesia dan Filipina melalui gagasan MAPHILINDO. Pada 1963, Presiden Indonesia Sukarno, Presiden Filipina Diosdado Macapagal dan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman seolah-olah sudah melihat masa hadapan bahawa perlunya gagasan yang menyatukan Malaysia, Indonesia dan Filipina secara plurilateral. MAPHILINDO bukan sahaja pakatan politik tetapi didasari oleh kesedaran ketiga-tiga buah negara berkongsi warisan sejarah dan budaya yang sama.
Justeru, dalam keadaan krisis dunia yang semakin terpolarisasi oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China idea Melayu Raya boleh dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih realistik. Ia tidak perlu mengambil pendekatan politik yang formal seperti MAPHILINDO tetapi boleh berkembang sebagai jaringan peradaban-suatu bentuk kerjasama yang berasaskan ilmu, budaya dan nilai bersama.
Antara langkah segera yang perlu diambil ialah mengangkat semula Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca dan bahasa ilmu di ketiga-tiga buah negara. Ini boleh dilakukan dengan usaha terjemahan besar-besaran karya-karya besar dunia dalam Bahasa Melayu dan disebarluaskan ke tiga buah negara tersebut. Dari sudut ekonomi, kerjasama antara negara serumpun boleh diperkukuhkan bukan semata-mata atas dasar keuntungan tetapi berteraskan pembangunan seimbang. Ini termasuk memperkukuhkan perdagangan intra-serantau dalam sektor minyak dan gas dan industri halal.
Dari sudut keselamatan tenaga, negara dalam lingkaran alam Melayu mempunyai kedudukan yang signifikan sebagai pengeluar minyak dan gas. Namun, tanpa koordinasi serantau setiap negara bertindak secara berasingan dan terdedah kepada turun naik pasaran global. Dijangkakan Malaysia juga boleh menemui nasib yang sama seperti Filipina yang terputus bekalan minyak dan gas jika tiada langkah drastik diambil. Keperluan domestik Malaysia boleh dimanfaatkan melalui pertukaran minyak dan gas secara serantau bersama Indonesia dan Brunei. Seperti yang dhuraikan oleh Daniel Yergin dalam the New Map, geopolitik tenaga hari ini tidak lagi bergantung kepada satu kuasa tunggal tetapi kepada jaringan like-minded atau negara yang mempunyai falsafah geo-politik yang sama yang memerlukan kerjasama strategik antara negara.
Perang Iran memperlihatkan bagaimana negara-negara kecil sering terperangkap dalam percaturan kuasa besar. Adakah Malaysia hanya perlu berpeluk tubuh? Samuel Huntington dalam the Clash of Civilisation menegaskan dunia pasca perang dingin cenderung kepada blok peradaban bukan sekadar pakatan politik. Negara serumpun Melayu yang berpecah akan lebih mudah dipengaruhi kuasa luar maka untuk itu gagasan Melayu Raya boleh membentuk satu suara kolektif yang lebih berwibawa dalam menghadapi tekanan geopolitik ini.
Pendek kata, dunia selepas ini akan berubah dan menjadi lebih mencabar. Melayu Raya harus difahami sebagai satu usaha untuk menyusun kembali kekuatan yang telah lama wujud. Gerakan pertama sudah dimulai oleh Perdana Menteri dengan melakukan lawatan dan perbincangan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi mencari penyelesaian tuntas kepada tekanan ini. Jawapannya tidak lain tidak bukan Melayu Raya!

