Wajar dijelaskan maksud sebenar konservatisme agar pembaca memahami konteks penggunaannya. Konservatisme tidak sama dengan reactionary. Konservatisme ialah satu pendekatan berhati-hati terhadap perubahan, menerima pembaharuan yang perlu tetapi mengekalkan nilai, tradisi dan institusi yang dianggap penting kepada kestabilan masyarakat. Walau bagaimanapun, reactionary pula menolak perubahan dan berusaha mengembalikan keadaan lampau tanpa kompromi. Penulis memanfaatkan perbezaan ini untuk menekankan bahawa masyarakat Melayu tidak sepatutnya dilihat sebagai kolot tetapi sebagai masyarakat yang menjaga tradisi dengan penuh kesedaran. Walau bagaimanapun, kerana istilah konservatisme berasal daripada sejarah politik British, istilah ini perlu berhati-hati digunakan supaya ia tidak disalah tafsir dalam dunia Melayu yang lebih dekat dengan istilah tradisionalisme. Dalam buku ini, penulis cuba menyesuaikan istilah Barat itu dengan pengalaman Melayu-Islam sambil tetap meminjam pandangan tokoh seperti Roger Scruton, Locke dan Bentham. Perbezaan konteks ini menjadikan buku ini menarik kerana memperlihatkan usaha penulis untuk mengolah istilah asing kepada makna tempatan, walaupun sesekali terasa terlalu dipengaruhi kerangka Barat.
Buku ini memaparkan tema yang luas, menjadikan setiap bab membawa pembaca kepada dimensi baharu. Bahagian pertama membincangkan asas pemikiran konservatif dalam politik, falsafah dan etika. Penulis menjelaskan bahawa konservatisme bukan menolak ilmu atau pembaharuan tetapi menganggap tradisi dan moral sebagai pelindung terhadap kekacauan. Dalam bab ini, tokoh Barat banyak disebut, termasuk Plato dan Aristotle, Locke dan Bentham, yang dijadikan sokongan kepada hujah bahawa masyarakat memerlukan landasan moral untuk mengekalkan keseimbangan. Penulis menyatakan bahawa dalam konteks Melayu, unsur agama dan adat menjadi benteng utama menghadapi cabaran moden. Hujah utama penulis adalah masyarakat yang hilang akar tradisi akan mudah hanyut oleh gelombang ideologi baharu.
Bahagian kedua meneliti isu ekonomi dan sosial yang dihadapi Malaysia, termasuk kesan pandemik. Penulis melihat bahawa pandemik COVID-19 membuka mata terhadap keperluan negara berdikari dalam makanan, tenaga dan teknologi. Buku ini mengangkat idea untuk memperkukuh pengeluaran tempatan, mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing dan menguasai aset strategik seperti Petronas. Penulis juga menyentuh konsep ekonomi hijau dan teknologi lestari yang boleh mengimbangi pembangunan dengan kelestarian alam. Walaupun huraian ekonominya tidak teknikal, kandungannya memberikan pemikiran bernas tentang hubungan antara ekonomi dan identiti negara, serta bagaimana dasar yang terlalu liberal boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Bahagian ketiga menyentuh aspek ketatanegaraan dan sistem Raja Berperlembagaan, bahagian yang paling hidup dalam buku ini. Penulis menegaskan bahawa Malaysia terbentuk daripada kontrak sosial yang melibatkan Raja, rakyat dan perlembagaan, dan bahawa setiap pihak mempunyai tanggungjawab. Institusi Raja berperanan sebagai penimbang tara politik, manakala kerajaan memikul amanah mentadbir tanpa kuasa mutlak. Peristiwa politik semasa seperti PRU14 digunakan untuk menekankan kepentingan sistem semak dan imbang. Dalam bab ini, penulis juga menyentuh hak asasi manusia, dengan pandangan bahawa hak tidak mutlak dan mesti disesuaikan dengan norma budaya dan agama. Pandemik menjadi contoh bagaimana hak boleh dihadkan untuk kebaikan bersama, sejajar dengan kerangka undang-undang antarabangsa yang mengizinkan batasan demi keselamatan awam.
Bahagian akhir membawa perbincangan kepada cabaran ekstremisme dan polarisasi politik. Penulis memerhati dua kecenderungan yang mengancam kestabilan: satu kumpulan yang terlalu literal terhadap agama tanpa dialog, dan satu lagi yang menerima liberalisme melampau hingga menolak tradisi. Malaysia tidak sekular, tetapi negara pelbagai kaum ini memerlukan keseimbangan antara hak majoriti dan kebebasan minoriti. Penulis mengusulkan konsep Malaysia Saksama yang berlandaskan prinsip adil, adab dan cermat. Gagasan ini mahu mengekalkan kedudukan Islam, hak istimewa Melayu dan pribumi tetapi tetap memberi ruang kepada kaum lain untuk berkongsi kemajuan. Walaupun istilah konservatisme digunakan, gagasan yang dibawa sebagaimana disentuh di awal tadi, lebih serasi dengan istilah tradisionalisme yang menggabungkan budaya, agama dan nilai tempatan untuk menghadapi cabaran moden.
Kelebihan buku ini jelas iaitu, pertama ialah keberanian mengangkat pelbagai isu besar dalam satu naskhah. Pembaca dibawa daripada teori politik baik Barat mahu pun Islam, hingga kepada dasar ekonomi dan sejarah institusi, memberikan gambaran menyeluruh tentang pemikiran penulis. Buku ini tidak hanya memikirkan tentang idea tetapi mengaitkannya dengan realiti negara. Namun, ada kejanggalan yang perlu disebut. Walaupun penulis mengkritik tamadun Barat kerana terlalu bebas dan sekular, beliau tetap menggunakan tokoh Barat seperti Locke, Bentham dan Scruton sendiri dengan meluas sebagai rujukan utama. Kebergantungan ini mungkin tidak dapat dielakkan kerana kerangka teori politik banyak lahir di Barat, tetapi hujah seumpama ini menimbulkan persoalan tentang perlunya membina teori asli yang lahir daripada pengalaman Melayu-Islam. Akhirnya berkenaan komen terakhir berkait tajuk buku ini. Istilah konservatisme mempunyai makna khusus dalam sejarah politik British, sedangkan masyarakat Melayu lebih sesuai difahami dengan konsep tradisionalisme. Tradisionalisme lebih dekat dengan jiwa masyarakat yang mengutamakan adat, agama dan keluarga, tanpa membawa beban sejarah parti atau ideologi Barat. Oleh itu, tajuk ini mungkin memberi tanggapan yang kurang tepat dari Perspektif Alam Melayu, walaupun isi bukunya tetap berharga dan relevan.
Buku Melayu dan Konservatisme wajar diberi perhatian oleh pembaca yang ingin memahami kaitan tradisi, agama dan politik dalam dunia Melayu. Walaupun ada ruang yang boleh diperkemas, termasuk kejelasan tajuk dan keperluan teori tempatan, buku ini memperlihatkan usaha yang ikhlas dan idea yang bernas.
Makmor Tumin, PhD
Universiti Malaya

