Keganasan Yahudi Zionis Terhadap Palestin Sebagai Suatu Jenayah Kemanusiaan (Crimes Against Humanity)

PUTRAJAYA, 16 Mei 2021- Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE) mengecam sekeras-kerasnya jenayah pembersihan etnik yang dilakukan oleh Yahudi Zionis di Semenanjung Gaza selama ini. Sejak tahun 1948 di mana tercetus peperangan Palestin dan Israel lebih kurang 720,000 Arab Palestin telah dihalau dan dinafikan hak mereka di tanah air mereka sendiri. Ini berpunca daripada Gerakan Zionis yang secara tersusun merancang untuk menubuhkan negara haram Israel di tanah Arab-Palestin. Bagi memenuhi objektif ini, suatu bentuk pembersihan etnik secara sistematik telah dilakukan terhadap Arab-Palestin dengan melancarkan serangan keganasan dan terorisme terhadap lebih kurang 500 penempatan Arab Palestin dan yang terbaru cubaan merampas penempatan Sheikh Jarrah secara haram yang menjadi punca kepada konflik terbaru di Palestin.

Bagi menyekat jenayah terancang ini dari berterusan PEACE menuntut tindakan-tindakan berikut dilaksanakan segera:

1.               Mengkategorikan jenayah keganasan Yahudi Zionis di Palestin sebagai jenayah pembersihan etnik yakni Jenayah terhadap Kemanusiaan (Crimes Against Humanity) yang dilakukan secara terancang , sistematik dan meluas ditujukan kepada penduduk awam.

2.               Semua media domestik dan antarabangsa dituntut melaporkan keganasan Yahudi Zionis sebagai jenayah pembersihan etnik yang bersifat politik bagi menubuhkan negara haram Israel.

3.               Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kadar segera menyatakan sikap dengan mengeluarkan resolusi bahawa pembersihan etnik secara terancang terhadap Arab-Palestin sebagai Jenayah Kemanusiaan.

4.               PBB mengadakan Tribunal Khas bagi mendakwa dan membicarakan pemimpin-pemimpin Israel yang melancarkan jenayah pembersihan etnik terhadap Arab-Palestin.

5.               Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)  mengeluarkan kenyataan dan sikap mereka terhadap jenayah pembersihan etnik yang dilakukan oleh Israel selama ini dan mencadangkan tindakan-tindakan yang boleh diambil di bawah undang-undang antarabangsa bagi menamatkan Jenayah Kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel selama ini.

PEACE berharap semua umat Islam di seluruh dunia bersatu padu dan menolak segala persengketaan politik bagi membantu menamatkan jenayah kemanusiaan yang dilakukan selama ini. PEACE berpandangan tidak ada kaedah lain yang lebih tuntas menangani jenayah ini selain perpaduan umat Islam itu sendiri.

Mengenai PEACE:

Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia adalah badan pemikir bebas yang berpusat di Putrajaya melakukan penyelidikan dalam hal ehwal polisi awam dan isu-isu ekonomi di Malaysia melalui gerak gerja intelektual seperti penerbitan, seminar, persidangan, kertas penyelidikan selain kerja-kerja kebajikan di lapangan. Untuk maklumat lanjut lawati www.yayasanpeace.org

Hubungi:

Mohd Jamizal bin Zainol

Pengerusi, Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia

yayasanpeace@gmail.com

+6012-3851441